DUNIA > BERITA

CHINA GESA KESELAMATAN DAN KESTABILAN DIPULIHKAN DI GAZA

24/10/2025 03:02 PM

NEW YORK, 24 Okt (Bernama-CMG) -- China menggesa agar semua pihak terlibat mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata serta memastikan keselamatan dan kestabilan dipulihkan di Gaza.

Gesaan itu dibuat Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong ketika menghadiri sesi perdebatan terbuka Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai Asia Barat pada Khamis.

Fu berkata Gaza adalah tanah air rakyat Palestin, bukan cip tawar-menawar dalam politik antarabangsa.

Beliau menegaskan sebarang aturan berkaitan masa depan Gaza perlu dibuat berdasarkan prinsip 'rakyat Palestin mentadbir Palestin' serta menghormati kehendak rakyat Palestin, selaras konsensus yang dicapai masyarakat antarabangsa.

Fu turut menegaskan bahawa Israel mesti menghentikan aktiviti penempatan Yahudi di Tebing Barat serta tindakan merosakkan asas tadbir urus Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa bersatu menentang sebarang tindakan sepihak yang menjejaskan asas pelaksanaan 'penyelesaian dua negara', serta menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka di samping keanggotaan penuh Palestin dalam PBB secepat mungkin.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan