DUNIA > BERITA

FACEBOOK, INSTAGRAM DAN TIKTOK LANGGAR PERATURAN EU - SURUHANJAYA EU

24/10/2025 07:41 PM

BRUSSELS, 24 Okt (Bernama-dpa) -- Facebook, Instagram dan TikTok didapati melanggar peraturan Kesatuan Eropah (EU), menurut dapatan awal Suruhanjaya Eropah pada Jumaat, yang boleh membawa kepada pengenaan denda besar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, serta TikTok kini mempunyai peluang untuk mempertahankan diri daripada dakwaan itu atau membuat pelarasan terhadap platform masing-masing bagi mengelakkan penalti kewangan.

Menurut suruhanjaya itu, ketiga-tiga platform berkenaan tidak memberikan penyelidik akses atau maklumat yang mencukupi mengenai data mereka seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA) EU.

Set data yang boleh diakses secara umum itu sepatutnya membolehkan penyelidik meneliti, sebagai contoh, kesan kandungan yang mengagungkan keganasan terhadap kanak-kanak.

Selain itu, suruhanjaya berkenaan turut mendakwa Meta tidak menyediakan kaedah mudah untuk melaporkan kandungan menyalahi undang-undang dan mencabar keputusan penyederhanaan kandungan.

Sekiranya suruhanjaya itu akhirnya memutuskan bahawa syarikat-syarikat berkenaan melanggar undang-undang EU, ia boleh mengenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan mereka di seluruh dunia.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan