DUNIA > BERITA

BONDA RATU SIRIKIT MANGKAT, THAILAND UMUM TEMPOH BERKABUNG SETAHUN

25/10/2025 06:46 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan Thailand mengisytiharkan tempoh berkabung selama setahun bagi semua penjawat awam, kakitangan syarikat milik kerajaan dan pegawai kerajaan sebagai tanda penghormatan atas kemangkatan Bonda Ratu Sirikit Kitiyakara.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Airin Phanrit berkata semua pejabat kerajaan, syarikat milik kerajaan, agensi awam dan institusi pendidikan diarah mengibarkan bendera kebangsaan separuh tiang selama 30 hari bermula 25 Okt 2025.

“Semua penjawat awam, kakitangan syarikat milik kerajaan dan pegawai kerajaan hendaklah berkabung selama setahun mulai 25 Okt 2025.

“Orang ramai turut dijemput untuk turut serta dalam tempoh berkabung dengan cara yang sopan dan penuh hormat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anutin Charnvirakul pada Sabtu.

Airin juga berkata bahawa semua pusat hiburan dan premis perkhidmatan di seluruh negara diminta menangguhkan atau mengehadkan aktiviti hiburan selama 30 hari sebagai tanda penghormatan.

Beliau menjelaskan bahawa Kabinet turut memperincikan beberapa langkah utama bagi memastikan upacara persemadian diraja dilaksanakan dengan penuh penghormatan dan mengikut adat istiadat diraja Thailand.

Menurutnya, orang awam akan dibenarkan memberi penghormatan terakhir di hadapan potret Bonda Ratu Sirikit pada Ahad, 26 Okt, dari 8 pagi hingga 12 tengah hari di Astaka Sahathai Samakhom.

“Pejabat Setiausaha Tetap kepada Perdana Menteri akan menubuhkan Jawatankuasa Upacara Persemadian Diraja yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dengan jawatankuasa kecil bagi menyelia urusan upacara, pembinaan krematorium diraja, aturan keselamatan serta komunikasi awam,” katanya.

Terdahulu, Biro Istana Diraja mengumumkan bahawa Bonda Ratu Sirikit, mangkat pada petang Jumaat.

Raja Maha Vajiralongkorn telah mengarahkan biro berkenaan untuk menguruskan upacara persemadian diraja dengan penghormatan tertinggi mengikut adat istiadat diraja.

Perarakan diraja membawa jasad Ratu Sirikit ke Dewan Takhta Dusit Maha Prasat yang terletak di dalam Grand Palace dijangka berlangsung pada 4 petang (waktu Thailand) esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan