SEOUL, 26 Okt (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan berlepas ke Malaysia pada Ahad untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, dengan matlamat memperkukuh hubungan dengan blok serantau itu serta meningkatkan kerjasama dalam membanteras penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan lain.
Menurut agensi berita Yonhap, lawatan dua hari Lee ke Kuala Lumpur menandakan lawatan pertamanya ke Asia Tenggara sejak memegang jawatan pada Jun lalu.
Pada Isnin, beliau akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan beliau dijangka membincangkan langkah bagi memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Korea Selatan dengan blok serantau itu.
Menurut Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung Iac, Lee akan menggariskan visinya bagi memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, memohon sokongan ASEAN terhadap inisiatif keamanan di Semenanjung Korea, serta membincangkan usaha bersama memerangi penipuan dalam talian.
Lee juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga yang melibatkan Korea Selatan, Jepun dan China, serta beliau dijangka mengadakan pertemuan bersemuka pertama dengan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan Perdana Menteri China Li Qiang.
Di luar sidang itu, Lee akan bertemu Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi membincangkan kerjasama dua hala dan usaha berterusan menangani jenayah penipuan dalam talian yang menyasarkan rakyat Korea Selatan, susulan kematian seorang pelajarnya di Kemboja baru-baru ini yang dikaitkan dengan jenayah itu.
Lee juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneroka langkah memperdalam kerjasama ekonomi sebelum pulang ke tanah air lewat Isnin.
Lawatan beliau berlangsung menjelang minggu diplomatik yang sibuk bagi Korea Selatan, yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) serta beberapa acara ekonomi berkaitan di bandar Gyeongju.
Di luar Sidang Kemuncak APEC, pejabat presiden memaklumkan Lee dijadual mengadakan pertemuan dua hala kedua dengan Trump pada Rabu dan pertemuan sulung dengan Xi pada Sabtu, sempena lawatan negara kedua-dua pemimpin ke Korea Selatan.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial