DUNIA > BERITA

JEPUN HASRAT PERKUKUH KERJASAMA KEWANGAN, KETERJAMINAN MAKANAN DENGAN ASEAN, CHINA, KOREA SELATAN

27/10/2025 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama-Kyodo) -- Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi pada Isnin menegaskan komitmen negaranya untuk memperkukuh kerjasama dengan ASEAN, China dan Korea Selatan dalam bidang kestabilan kewangan serta keterjaminan makanan.

Menurut agensi berita Kyodo, Motegi menyampaikan pendirian itu ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) di Kuala Lumpur bagi mewakili Perdana Menteri Sanae Takaichi, yang berlepas pulang ke Jepun lewat Ahad bagi menyambut lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Perdana Menteri China Li Qiang dan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, turut menghadiri sidang kemuncak di bawah kerangka ASEAN yang diperluas itu.

Pemimpin ASEAN+3 dijangka mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama demi memacu kemakmuran ekonomi, kestabilan kewangan dan pembangunan mampan di seluruh rantau ini.

Kenyataan bersama itu juga dijangka menekankan kepentingan membangunkan rantaian bekalan serantau yang berdaya tahan dan lestari.

Motegi turut dijadual menghadiri mesyuarat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Isnin serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), yang turut dianggotai negara ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat dan China.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan