NEW YORK, 26 Okt (Bernama-WAM) -- Sebanyak 65 negara menandatangani perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hanoi bagi menangani jenayah siber, satu langkah yang disifatkan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres sebagai detik bersejarah ke arah dunia digital yang lebih selamat, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Konvensyen Menentang Jenayah Siber yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2024 selepas rundingan selama lima tahun itu mewujudkan kerangka sejagat pertama bagi menyiasat dan mendakwa kesalahan dalam talian termasuk serangan perisian tebusan, penipuan kewangan dan penyebaran imej intim tanpa kebenaran.
Majlis menandatangani perjanjian itu yang dianjurkan oleh Vietnam dengan kerjasama Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), menghimpunkan pegawai kanan, diplomat dan pakar keselamatan siber dari seluruh dunia.
Perjanjian baharu itu menggariskan pelbagai bentuk jenayah berkaitan siber, membolehkan perkongsian bukti elektronik merentas sempadan, serta menubuhkan rangkaian kerjasama 24 jam antara negara peserta.
Ia juga merupakan perjanjian antarabangsa pertama yang mengiktiraf penyebaran imej intim tanpa kebenaran sebagai satu jenayah. Konvensyen itu akan berkuat kuasa 90 hari selepas negara ke-40 mengesahkan penyertaannya.
“Konvensyen Jenayah Siber PBB ialah instrumen undang-undang yang kuat dan mengikat bagi memperkukuh pertahanan bersama kita terhadap jenayah siber,” kata Guterres semasa majlis menandatangani pada Sabtu.
Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai “bukti kekuatan berterusan multilateralisme” dan “janji bahawa tiada negara, tanpa mengira tahap kemajuannya, akan dibiarkan tanpa perlindungan daripada jenayah siber.”
Guterres menegaskan bahawa walaupun teknologi telah membawa kemajuan luar biasa, ia juga mewujudkan kerentanan baharu.
Beliau turut menekankan bahawa konvensyen itu menyediakan piawaian global dalam pengendalian bukti elektronik dan akan meningkatkan kerjasama antara agensi penguat kuasa undang-undang sambil melindungi privasi dan hak asasi manusia.
Kerugian global akibat jenayah siber dijangka mencecah US$10.5 trilion setahun menjelang 2025, menonjolkan keperluan mendesak terhadap kerangka baharu ini.
Bagi banyak negara membangun, khususnya di Selatan Global, konvensyen ini membuka akses kepada latihan, sokongan teknikal dan kerjasama masa nyata.
“Marilah kita rebut peluang ini. Mari kita bina ruang siber yang menghormati maruah dan hak setiap insan, serta memastikan era digital membawa keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua," kata Guterres.
-- BERNAMA-WAM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial