AM > BERITA

Prof Mohd Said Bani Pertahan Jawatan Presiden PRCA Untuk Penggal Ketiga

14/03/2026 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) sebulat suara melantik semula Prof Mohd Said Bani C.M. Din sebagai presiden persatuan itu untuk penggal ketiga berturut-turut.

PRCA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) baharu bagi penggal 2026-2028 telah diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 persatuan itu baru-baru ini.

Mohd Said Bani yang juga pengasas dan pengarah urusan bzBee Consult akan mengetuai pasukan yang terdiri daripada Naib Presiden Grace Chiam (BrandCulture), Setiausaha Kehormat Stefanie Braukmann (Strategic Public Relations Group) serta Bendahari Kehormat Lydia Chia (ROOTS PR).

Ahli Jawatankuasa yang baharu dipilih termasuk bekas presiden Andy See (Perspective Strategies), Zuraida Malek (Zeta M Consulting) dan Zalina Abdul Aziz (bzBee Consult).

Mohd Said Bani berkata peranan profesional komunikasi kini lebih bersifat strategik dalam era maklumat palsu dan tuntutan ketelusan yang semakin tinggi.

"Perhubungan awam kini berada di persimpangan antara kepercayaan, reputasi dan impak sosial. PRCA Malaysia akan terus memartabatkan profesionalisme dan amalan beretika bagi memastikan industri kita kekal dipercayai dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.  

Menurut kenyataan itu, antara detik penting pada mesyuarat terbabit ialah majlis penandatanganan Ikrar Integriti Industri oleh ahli PRCA, satu inisiatif bagi memperkukuh standard etika dalam era yang kian dipengaruhi oleh gangguan digital dan kecerdasan buatan (AI).

Persatuan juga telah mengenal pasti beberapa keutamaan termasuk merangka garis panduan industri untuk penggunaan AI secara bertanggungjawab dalam komunikasi serta memperluas platform pembangunan profesional.

PRCA turut merancang menganjurkan forum industri berimpak tinggi yang membincangkan isu baharu seperti tadbir urus AI, amalan perolehan dan transformasi media, terus memperkukuh Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) sebagai acara unggul serta memperluas peluang bimbingan kepada profesional muda dan pelajar baharu menceburi bidang terbabit.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan