DUNIA > BERITA

TRUMP PUJI QATAR ‘SEKUTU HEBAT’ KETIKA PERSINGGAHAN DI DOHA, DALAM PERJALANAN KE MALAYSIA

26/10/2025 02:06 PM

ISTANBUL, 26 Okt (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memuji Qatar sebagai “sekutu hebat” ketika melakukan persinggahan ringkas untuk mengisi minyak di Doha pada Sabtu, dalam perjalanannya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Ia satu penghormatan. Kami mempunyai sekutu yang hebat. Mereka sekutu yang luar biasa, dan dua lelaki ini juga hebat. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan anda memiliki Timur Tengah yang selamat di sini — dan anda akan kekalkannya begitu untuk tempoh yang lama,” kata Trump ketika bersama Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman.

“Saya terfikir, kami mendarat di sini untuk mengisi minyak dan ia satu penghormatan besar apabila mengalu-alukan anda dalam pesawat,” katanya.

Trump turut memuji sumbangan Qatar terhadap usaha damai dengan berkata, “Apa yang telah kita capai sungguh luar biasa. Keamanan di Timur Tengah — dan mereka memainkan peranan besar dalam hal ini.”

Beliau berkata Amerika Syarikat dan Qatar telah mencapai banyak kejayaan bersama, terutamanya sepanjang tahun lalu.

Mengenai pembentukan pasukan multinasional yang akan ditempatkan di Gaza, Trump berkata ia akan dilaksanakan “dalam masa terdekat,” sambil menambah bahawa pemilihan pemimpin bagi pasukan itu sedang dijalankan.

“Anda akan menyaksikan keamanan di Timur Tengah. Ini adalah keamanan sebenar — sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam 3,000 tahun,” katanya.

Dalam hantaran di platform X, Sheikh Tamim berkata beliau berbesar hati bertemu Presiden AS Donald Trump hari ini sempena persinggahannya di negara itu.

“Ia satu peluang baik untuk membincangkan pelan damai Timur Tengah, meneliti semula usaha mengukuhkan perjanjian bagi menamatkan perang di Gaza, dan berbincang tentang prospek kerjasama strategik antara kedua-dua negara sahabat,” katanya.

Menurut Amiri Diwan, Sheikh Tamim bertemu Trump di Pangkalan Udara Al-Udeid bersama Setiausaha Negara Marco Rubio dan pegawai kanan AS.

Trump kemudiannya menulis di Truth Social: “Kita kini mempunyai keamanan yang sangat kukuh di Timur Tengah, dan saya percaya ia berpotensi kekal untuk selama-lamanya.”

Fasa pertama gencatan senjata Gaza berkuat kuasa pada 10 Okt di bawah pelan damai 20 perkara yang diperkenalkan oleh Trump.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan