DUNIA > BERITA

PRESIDEN BRAZIL TAWAR BANTUAN KEPADA TRUMP, SELESAIKAN KETEGANGAN DENGAN VENEZUELA

27/10/2025 03:44 PM

RIO DE JANEIRO, 27 Okt (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah bagi membantu menyelesaikan ketegangan di sekitar Venezuela semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira.

Lula da Silva dan Trump dilaporkan bertemu pada Ahad di Malaysia.

“Presiden Lula da Silva menegaskan bahawa Amerika Selatan merupakan rantau yang cintakan keamanan dan beliau bersedia menjadi perantara dalam isu Venezuela bagi mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak,” kata Vieira kepada wartawan.

Pada September dan Oktober lalu, tentera AS berulang kali melancarkan operasi untuk memusnahkan bot yang didakwa membawa dadah di perairan berhampiran Venezuela.

Pada 19 Ogos, jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata Trump bersedia menggunakan “setiap instrumen kuasa Amerika” untuk memerangi pengedaran dadah, termasuk kemungkinan melancarkan operasi ketenteraan di Venezuela.

Kenyataan itu dibuat selepas laporan bahawa Washington mengerah lebih 4,000 anggota Marin dan kelasi ke perairan sekitar Amerika Latin dan Caribbean bagi mengekang kegiatan kartel dadah.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA Novosti



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan