GYEONGJU, 28 Okt (Bernama-Yonhap) -- Pemimpin dunia dan delegasi dari negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) mula tiba di bandar Gyeongju, Korea Selatan pada Selasa, tiga hari menjelang sidang kemuncak berprestij itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Langkah keselamatan di seluruh bandar dipertingkat ke tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan para delegasi, terutamanya di Kompleks Pelancongan Bomun, lokasi utama persidangan dan penginapan kebanyakan pemimpin.
Sebahagian besar pemimpin dan delegasi negara dijangka tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di bandar pelabuhan Busan, sebelum bergerak ke Gyeongju dengan kenderaan rasmi, menurut pegawai kerajaan.
Presiden Peru dan delegasi dari Taiwan dijadual tiba pada petang Selasa, manakala wakil dari New Zealand, Rusia, Hong Kong, Australia, Thailand, Kanada dan Vietnam akan tiba pada Rabu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump turut dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada Rabu sebelum berlepas ke Gyeongju bagi menghadiri sidang kemuncak dua hala dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung.
Sementara itu, Presiden China Xi Jinping bersama pemimpin Singapura, Papua New Guinea, Jepun, Indonesia, Filipina, Chile, Malaysia dan Brunei dijangka tiba pada Khamis, sehari sebelum Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi APEC berlangsung.
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan juga dijangka menghadiri acara itu meskipun UAE bukan anggota APEC.
Sebilangan besar pemimpin dunia dijangka pulang ke negara masing-masing antara Sabtu dan Ahad selepas sidang kemuncak berakhir.
Di seluruh wilayah Gyeongsang Utara, tempat terletaknya Gyeongju, polis telah mengaktifkan amaran keselamatan tertinggi “Gapho” yang memerlukan mobilisasi penuh anggota keselamatan.
Anggota polis bermotosikal dan kereta peronda dilihat melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan persidangan dan laluan konvoi berhampiran Kompleks Pelancongan Bomun.
Pada Sabtu, polis akan menempatkan sistem anti-dron, helikopter serta kenderaan berperisai bagi menutup sepenuhnya kawasan berkenaan sebagai langkah keselamatan tambahan.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial