DUNIA > BERITA

INDONESIA TETAPKAN KOS HAJI PADA 87.4 JUTA RUPIAH SETIAP JEMAAH

30/10/2025 12:25 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 30 Okt (Bernama) -- Kos purata penyelenggaraan Haji 2026 bagi setiap jemaah Indonesia ditetapkan pada 87.4 juta rupiah (kira-kira RM25,700), iaitu penurunan sekitar dua juta rupiah berbanding tahun lalu.

Ketetapan itu dicapai hasil perbincangan antara Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), kerajaan Indonesia dan Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) di Kompleks Parlimen pada Rabu.

Pengerusi Suruhanjaya VIII, Marwan Dasopang dalam satu kenyataan berkata jumlah itu dianggap berpatutan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan untuk 221,000 jemaah, dengan purata tempoh berada di Tanah Suci selama 41 hari.

Beliau menjelaskan bahawa jemaah akan membayar 54.2 juta rupiah, manakala baki 33.2 juta rupiah ditanggung menerusi hasil pelaburan dana Haji.

Lebihan sebanyak 149 bilion rupiah akan disimpan sebagai subsidi bagi musim Haji seterusnya.

Beliau juga menegaskan bahawa peningkatan kualiti perkhidmatan kekal menjadi keutamaan, termasuk penyediaan penginapan berhampiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sajian makanan bercirikan Indonesia, serta pemberian wang saku kepada jemaah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan