DUNIA > BERITA

"COULEURS DE MALAISIE" PAMER BUDAYA, DIPLOMASI KULINARI MALAYSIA DI PARIS

03/11/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Malaysia mempamerkan kepelbagaian budaya dan diplomasi kulinari di Paris melalui Couleurs de Malaisie (Warna-Warna Malaysia), satu pameran yang meraikan gaya hidup, seni dan tradisi negara yang meriah, yang diadakan di Masjid Besar Paris.

Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata acara tiga hari itu, yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Paris dengan kerjasama Masjid Besar Paris, menampilkan pertunjukan budaya Malaysia yang rancak, termasuk mencanting batik, demonstrasi makanan, promosi perdagangan dan pelaburan, pameran pelancongan, dan gerai yang menawarkan masakan asli Malaysia.

“Dianggarkan 380 pengunjung menghadiri perasmian dan pameran pada hari pertama sahaja,” katanya kepada Bernama.

Dalam ucapan perasmiannya pada Jumaat, Eldeen berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan rasmi beliau ke Paris pada Julai tahun ini, telah menyatakan wawasan yang jelas untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Perancis melalui budaya, kepercayaan dan nilai-nilai bersama.

“Acara ini adalah gambaran wawasan itu - jambatan antara Malaysia dan Perancis yang dibina atas dasar saling menghormati, penghargaan dan persefahaman,” katanya.

Eldeen menambah bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, yang masyarakat Melayu, Cina, India dan komuniti orang asli hidup bersama secara harmoni.

Walaupun Islam adalah agama rasmi, beliau menyatakan di Malaysia seseorang boleh menemui masjid, gereja, kuil dan gurdwara berdiri bersebelahan - bukti semangat toleransi dan perpaduan negara.

“Melalui pameran ini, kami berharap dapat berkongsi sekilas pandangan semangat itu dengan anda di Perancis,” katanya.

Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan bermula dalam beberapa bulan, Eldeen menjemput tetamu untuk meneroka permata tersembunyi Malaysia, keajaiban budaya, dan layanan mesra.

Beliau berkata penyambungan semula penerbangan terus harian antara Kuala Lumpur dan Paris oleh Malaysia Airlines baru-baru ini telah mengukuhkan lagi hubungan perjalanan antara kedua-dua negara.

“Malaysia Truly Asia bukan sekadar cogan kata tetapi adalah penjelmaan kepelbagaian unik Malaysia, yang merangkumi keistimewaan dan daya tarikan yang menjadikannya destinasi luar biasa untuk perniagaan dan percutian.

“Sesungguhnya hanya ada satu tempat semua warna, rasa, bunyi dan pemandangan Asia berkumpul -Malaysia!,” katanya.

Eldeen berkata kerjasama dengan Masjid Besar Paris amat signifikan, sambil menyatakan bahawa kedua-dua Kedutaan dan Masjid berkongsi komitmen untuk memupuk dialog antara budaya dan meraikan keindahan kepercayaan melalui seni, kulinari dan komuniti.

“Kami amat berterima kasih atas kerjasama dan layanan mesra anda dalam menerima kami di ruang yang suci dan bersejarah ini,” katanya.

Turut hadir ialah Rektor Masjid Besar Paris Chems-Eddine Mohamed Hafiz, wakil dari agensi Malaysia yang berpangkalan di Paris dan anggota komuniti tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan