DUNIA > BERITA

LEGENDA MUAY THAI, BUAKAW SEDIA PUKAU PEMINAT DI KUALA LUMPUR

01/11/2025 05:41 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 1 Nov (Bernama) -- Legenda Muay Thai, Buakaw Banchamek bakal membuat penampilan sulungnya di Malaysia apabila mengambil bahagian dalam perlawanan pertunjukan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada 24 April 2026.

Buakaw, antara jaguh Muay Thai paling terkenal di Thailand, akan menjadi tarikan utama acara T-Fight All Star yang dianjurkan oleh TFight Malaysia.

Pengarah TFight, Mohd Khairul Hafiz berkata Buakaw dipilih sebagai petarung utama kerana beliau merupakan ikon sukan itu dan ramai peminat di Malaysia masih belum berpeluang menyaksikan kehebatannya di gelanggang.

“Pertunjukan itu juga akan menampilkan 13 lagi ahli sukan tempur termasuk atlet Malaysia serta petarung jemputan dari beberapa negara lain,” katanya kepada Bernama pada majlis menandatangani perjanjian antara TFight dan Buakaw yang diadakan di sini baru-baru ini.

Khairul berkata acara itu bertujuan mempromosikan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkenalkan sukan Muay Thai kepada khalayak lebih luas.

“Peminat sukan tempur tempatan berpeluang menyaksikan persembahan sebenar Muay Thai oleh Buakaw di gelanggang. Kami juga berharap acara ini dapat meningkatkan minat orang ramai dan menggalakkan lebih ramai menceburi sukan ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa jualan tiket bagi pertunjukan sehari itu belum dibuka, namun penganjur menyasarkan kehadiran lebih 3,000 penonton tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Buakaw, 43, meluahkan rasa terujanya untuk beraksi di Malaysia buat pertama kali dan berjanji akan membuat pertunjukan Muay Thai yang asli.

“Saya tidak pernah ke Malaysia, tetapi saya dengar makanannya sangat sedap. Saya tidak sabar untuk melawat Malaysia dan mempamerkan pertarungan yang hebat,” katanya.

Dikenali dengan gaya pertarungan yang bertenaga, kepantasan dan semangat kesukanan tinggi, Buakaw telah memenangi pelbagai gelaran sepanjang kerjayanya yang gemilang termasuk Juara Dunia Muay Thai, Juara K-1 World MAX dan Juara Kejohanan Thai Fight.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan