Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 8 Nov (Bernama) -- Polis Indonesia menamakan lapan individu sebagai suspek dalam kes fitnah yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa bekas presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi telah memalsukan ijazah universiti beliau.
Kesemua suspek didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas mengenai kelayakan akademik bekas pemimpin itu kepada orang awam termasuk melalui media sosial, mendorong beliau membuat laporan polis pada April lalu.
Ketua Polis Jakarta Metro Jaya, Inspektor Jeneral Asep Edi Suheri pada Jumaat berkata lapan suspek berkenaan dibahagikan kepada dua kumpulan dan berdepan pelbagai pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan serta Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE).
“Pegawai penyiasat telah menyoal siasat 130 saksi dan 22 pakar serta merampas 723 bahan bukti, termasuk dokumen asal daripada Universiti Gadjah Mada yang mengesahkan ijazah Joko Widodo adalah tulen,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata polis akan berkoordinasi dengan pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut, sambil menegaskan siasatan dijalankan secara profesional dan telus berdasarkan bukti saintifik.
Asep turut menggesa rakyat Indonesia menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta mengesahkan maklumat sebelum berkongsi bagi membantu memastikan ruang dalam talian kekal selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial