DUNIA > BERITA

LETUPAN SEKOLAH JAKARTA: 96 CEDERA, POLIS SIASAT MOTIF KEJADIAN

09/11/2025 06:26 PM

 

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Nov (Bernama) -- Dua letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 di Jakarta Utara pada Jumaat mencederakan 96 orang, kebanyakannya mengalami kesan lecur dan luka serpihan, menurut polis Indonesia pada Ahad.

Jumlah mangsa pada awalnya dilaporkan seramai 54 orang, namun angka itu meningkat selepas lebih ramai pelajar dan individu dikenal pasti serta menerima rawatan susulan.

Letupan berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat di masjid sekolah berkenaan, yang terletak di kompleks perumahan Tentera Laut di Kelapa Gading, menurut kenyataan polis.

“Daripada jumlah itu, seramai 29 masih dirawat di tiga hospital, manakala selebihnya telah dibenarkan keluar dan meneruskan rawatan sebagai pesakit luar,” kata Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo selepas melawat mangsa pada Sabtu.

Sigit berkata pelajar yang terkesan menunjukkan semangat luar biasa untuk kembali ke sekolah, dan pihak polis bersama Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak merancang menubuhkan pusat trauma bagi menyokong pemulihan emosi serta kesihatan mental mereka.

Suspek berusia 17 tahun, yang juga pelajar sekolah itu telah menjalani pembedahan di kepala dan kini berada di bawah pengawasan di unit rawatan rapi.

“Keadaannya beransur pulih selepas rawatan intensif, dan ini akan membantu proses siasatan sekiranya diperlukan,” kata Sigit.

Pihak berkuasa turut menjumpai serbuk mencurigakan di rumah suspek, yang kini sedang dianalisis di makmal forensik bagi menentukan jenis dan fungsinya.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk kemungkinan pengaruh ideologi, pendedahan media sosial serta dakwaan bahawa suspek pernah menjadi mangsa buli.

Unit antikeganasan Densus 88 turut menyiasat kemungkinan kaitan dengan rangkaian pengganas, namun setakat ini tiada bukti yang mengesahkan perkara berkenaan, menurut kenyataan polis.

Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih dijalankan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan