DUNIA > BERITA

LULA GESA DUNIA MENENTANG GOLONGAN NAFIKAN REALITI KRISIS IKLIM

11/11/2025 05:21 PM

BOGOTA (Colombia), 11 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyeru pemimpin dunia supaya bersatu menentang golongan yang menafikan realiti perubahan iklim, ketika beliau merasmikan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30) di bandar Belem, Brazil pada Isnin.

Dalam ucapan pembukaannya, Lula menegaskan bahawa penolakan terhadap sains iklim dan penyebaran maklumat palsu menjadi halangan besar kepada usaha dunia memerangi perubahan iklim, lapor Anadolu Ajansi.

“Dalam zaman penuh maklumat palsu ini, ada pihak yang menolak bukti saintifik dan kemajuan kerjasama antarabangsa.

“Mereka mengawal algoritma, menanam kebencian dan menyebarkan ketakutan. Sudah tiba masanya untuk kita menewaskan golongan yang menafikan realiti perubahan iklim,” katanya.

Lula turut menzahirkan kekecewaan terhadap ketidakhadiran beberapa pemimpin utama dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China dan India di sidang COP30 itu.

Presiden Brazil itu turut mengkritik peningkatan besar perbelanjaan pertahanan oleh kuasa besar dunia, yang sepatutnya disalurkan kepada dana membantu negara membangun menghadapi kesan perubahan iklim.

“Jika mereka yang menyalakan api peperangan hadir di COP30, mereka akan tahu bahawa lebih murah membelanjakan US$1.3 trilion setahun untuk menyelamatkan bumi berbanding US$2.7 trilion yang digunakan untuk berperang tahun lalu,” katanya.

Lula juga menggesa semua negara supaya memperkukuh komitmen terhadap Perjanjian Paris bagi mengehadkan pemanasan global kepada bawah dua darjah Celsius, dengan sasaran 1.5 darjah Celsius berbanding paras pra-industri.

Perjanjian itu menuntut setiap negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan bantuan kewangan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim, khususnya di negara membangun.

Beliau turut menekankan kepentingan simbolik penganjuran COP30 di Belem, sebuah bandar di tengah hutan Amazon yang menjadi nadi kepada keseimbangan iklim global, tetapi masih berdepan masalah asas seperti kekurangan sistem sanitasi untuk separuh penduduknya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan