DUNIA > BERITA

POLIS INDIA SIASAT LETUPAN DI NEW DELHI YANG RAGUT 12 NYAWA DI BAWAH UNDANG-UNDANG ANTIKEGANASAN

11/11/2025 06:13 PM

ANKARA, 11 Nov (Bernama-Anadolu) – Polis India sedang menyiasat letupan yang berlaku di ibu negara New Delhi pada Isnin dan meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa serta mencederakan ramai yang lain di bawah undang-undang antikeganasan, lapor media kerajaan, menurut Anadolu Ajansi (AA).

“Laporan maklumat pertama (FIR) telah didaftarkan di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Menyalahi Undang-Undang (UAPA), Akta Bahan Letupan dan Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS). Siasatan sedang dijalankan,” lapor stesen televisyen kerajaan Doordarshan News memetik pegawai kanan polis Delhi, Raja Banthia.

Beliau berkata siasatan masih “pada peringkat awal dan sebarang komen pada masa ini terlalu pramatang.”

Letupan berlaku di luar Kubu Merah, sebuah struktur bersejarah era Mughal, pada kira-kira 6.52 petang waktu tempatan Isnin, menurut polis.

Kubu Merah, yang merupakan destinasi pelancongan popular, telah ditutup selama tiga hari sehingga 13 Nov.

Menurut Press Trust of India, angka korban meningkat kepada 12 orang pada Selasa.

Perdana Menteri Narendra Modi menilai situasi berkenaan menerusi panggilan telefon dengan Menteri Dalam Negeri Amit Shah.

“Agensi kami akan menyiasat hingga ke akar umbi konspirasi ini. Dalang di sebaliknya tidak akan terlepas. Semua yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan,” kata Modi ketika berucap pada satu acara di negara jiran Bhutan, di mana beliau sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari.

Susulan kejadian itu, tahap keselamatan diperketat di seluruh negara dengan beberapa kawasan dan bangunan penting diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi.

Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat India berkata semua kemudahan di bawah kawalannya, termasuk Metro Delhi, Kubu Merah, bangunan kerajaan dan lapangan terbang Delhi, kini berada dalam amaran berjaga-jaga tahap tinggi.

Pesuruhjaya Polis Delhi, Satish Golcha, berkata letupan berlaku apabila sebuah kenderaan yang bergerak perlahan berhenti di lampu isyarat merah dan mencetuskan letupan dan merebak ke beberapa kenderaan lain.

-- BERNAMA-ANADOLU 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan