DUNIA > BERITA

FIFA DIDAKWA GALAKKAN PENUBUHAN KESATUAN PALSU DALAM PERUNDINGAN KEBAJIKAN PEMAIN

11/11/2025 06:19 PM

LONDON, 11 Nov (Bernama-PA Media/dpa) – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) didakwa mempromosikan “kesatuan palsu” dan bukannya mengadakan dialog bermakna mengenai kebajikan pemain, lapor PA Media/dpa.

Kesatuan pemain dunia, FIFPRO, tidak dijemput ke mesyuarat yang diadakan oleh FIFA di Maghribi hujung minggu lepas.

FIFPRO berkata mesyuarat yang digelar Forum Perundingan Pemain Profesional FIFA itu “tidak melibatkan penyertaan global yang bermakna daripada kesatuan pemain bebas yang mewakili suara pemain serta memainkan peranan penting dalam rundingan pekerja.”

Dalam kenyataannya, FIFPRO berkata: “Pendekatan ini menonjolkan corak yang membimbangkan. FIFA sebelum ini menggunakan strategi serupa terhadap ejen dan penyokong, dengan mewujudkan organisasi mesra FIFA untuk proses perundingan, bukannya berurusan dengan badan wakil bola sepak yang diiktiraf.

“Melanjutkan amalan ini kepada hal ehwal pekerjaan dan mempromosikan kesatuan palsu atau ‘kuning’ menjejaskan perwakilan pekerja secara kolektif dan bercanggah dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).”

Hubungan antara kesatuan pemain dunia itu dan badan induk bola sepak global berkenaan telah lama tegang, dengan bahagian Eropah FIFPRO kini terlibat dalam dua tindakan undang-undang berasingan terhadap FIFA kerana didakwa gagal berunding secukupnya mengenai kalendar perlawanan antarabangsa.

FIFA berkata mesyuarat itu dihadiri wakil daripada 30 kesatuan pemain kebangsaan. Namun, menurut sumber yang dipetik agensi berita PA, sekurang-kurangnya empat daripada 30 kesatuan itu diwakili individu yang digantung kerana tadbir urus lemah atau rasuah.

Mesyuarat berkenaan, yang diadakan selepas pertemuan serupa di New York pada Julai lepas - yang juga tidak dihadiri FIFPRO - menyokong beberapa langkah kebajikan pemain, termasuk rehat 72 jam antara perlawanan, tempoh rehat 21 hari antara musim, satu hari rehat setiap minggu serta “langkah bagi mengambil kira perjalanan jarak jauh antara benua dan keadaan iklim.”

FIFA berkata langkah-langkah ini akan dibincangkan lanjut.

FIFPRO dalam kenyataannya menambah: “Walaupun FIFA telah membuat beberapa kemajuan penting bersama FIFPRO dalam beberapa tahun kebelakangan ini, badan itu terus menyembunyikan struktur tadbir urus sehala bola sepak profesional di sebalik apa yang digelar perundingan dengan pihak berkepentingan – satu proses yang amat cacat seperti yang terbukti menerusi mesyuarat di Rabat.”

FIFA telah dihubungi bagi mengulas mengenai perkara itu.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan