DUNIA > BERITA

PENDIDIKAN KEKAL SEBAGAI ASAS HUBUNGAN TIMOR-LESTE-MALAYSIA - DUTA TIMOR-LESTE

12/11/2025 02:42 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia Lisualdo Gaspar percaya bahawa pendidikan akan terus menjadi asas dalam memperkukuh kerjasama serta memupuk persefahaman yang lebih erat antara kedua-dua negara.

“Pendidikan merupakan sektor yang sangat baik untuk kerjasama. Sistem pendidikan Malaysia berkualiti tinggi dan mempunyai hubungan yang kukuh dengan industri sekali gus menyediakan peluang besar untuk kami. Itu sesuatu yang kami harap dapat diperkukuh dalam masa terdekat,” katanya.

Bercakap kepada Bernama selepas program “The Nation: Diplomatic Dispatch” yang diterbitkan oleh Bernama TV pada Selasa, Gaspar berkata kerjasama pendidikan kekal menjadi keutamaan bagi Timor-Leste, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan bilangan pelajar Timor-Leste yang melanjutkan pengajian di Malaysia.

“Tahun lalu, kami menghantar 32 pelajar Timor-Leste melalui biasiswa kerajaan. Tahun ini, kami akan menghantar 60 lagi pelajar sekali gus menjadikan Malaysia negara tumpuan dengan jumlah penerima biasiswa tertinggi yang ditawarkan oleh kami tahun ini,” katanya.

“Mungkin pelajar yang mengikuti pengajian komunikasi boleh datang ke Bernama untuk menjalani latihan intensif bagi menimba pengalaman. Itulah yang kami ingin terokai bersama Malaysia - bukan sahaja melalui pendidikan, tetapi juga dengan memperkukuh keupayaan mereka supaya bersedia untuk menyumbang apabila pulang ke Timor-Leste,” katanya.

Gaspar berkata Timor-Leste juga berhasrat bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor penting lain termasuk penjagaan kesihatan.

“Sudah tentu, dalam sektor lain juga, seperti sektor penjagaan kesihatan. Kami mahu meneroka bagaimana rakyat Malaysia boleh membantu kami menubuhkan sekurang-kurangnya perkhidmatan kesihatan yang baik di negara kami,” tambahnya.

Menyifatkan Malaysia sebagai rakan sejati yang sentiasa menyokong Timor-Leste, Gaspar turut berharap hubungan antara rakyat kedua-dua negara terus diperkukuh pada masa hadapan.

Timor-Leste secara rasmi menyertai ASEAN pada 26 Okt 2025 sebagai negara anggota ke-11.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan