DUNIA > BERITA

KES TUBERKULOSIS MENURUN, NAMUN DANA MASIH KRITIKAL - WHO

13/11/2025 05:48 PM

GENEVA, 13 Nov (Bernama-dpa) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kemajuan dalam usaha memerangi penyakit tuberkulosis (TB).

Dalam kenyataan di Geneva pada Rabu, badan dunia itu berkata jumlah kes baharu yang direkodkan tahun lalu menurun buat kali pertama sejak 2020, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Namun, WHO memberi amaran bahawa pembatalan dana bantuan boleh menjejaskan perkembangan positif itu.

Menurut laporan, sekitar 10.7 juta orang dijangkiti TB pada 2024, iaitu penurunan satu peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Kadar insiden – jumlah jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk – turut menurun sebanyak 1.7 peratus.

TB kekal antara 10 punca utama kematian di seluruh dunia. 

Berdasarkan laporan tahunan TB WHO, seramai 1.23 juta orang meninggal dunia akibat penyakit itu tahun lalu.

Di Eropah, jumlah kematian tahunan akibat TB menurun sebanyak 49 peratus sejak 2015, menurut laporan berkenaan.

Penurunan yang hampir sama turut dicatatkan di Afrika. 

“Tetapi kemajuan bukan bermaksud kemenangan,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Pandemik COVID-19 menyebabkan kemunduran dalam proses diagnosis dan rawatan, dan WHO memberi amaran bahawa banyak kawasan tidak mampu mencapai sasaran pembasmian TB.

Lebih separuh kes baharu yang direkodkan pada 2024 melibatkan lima negara iaitu India, Indonesia, Filipina, China dan Pakistan.

Pembiayaan untuk pencegahan, pengesanan dan rawatan pula terbantut sejak 2020. 

Tahun lalu, hanya US$5.9 bilion dibelanjakan di seluruh dunia, jauh lebih rendah daripada sasaran US$22 bilion menjelang 2027.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan