KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Beraksi dalam liga utama Jepun, Liga J1, memberikan perspektif baharu kepada pemain pertahanan negara Dion Cools yang diharapkan akan memberi manfaat kepada dirinya dan Harimau Malaya.
Cools, yang bermain dengan Cerezo Osaka sejak Jun lepas, berkata pendedahan kepada sistem dan pendekatan taktikal yang berbeza di negara Matahari Terbit itu telah membantunya membaca permainan dengan lebih baik sekali gus dapat berkongsi pengalamannya dengan rakan senegara.
Pemain berusia 29 tahun itu, dengan 37 caps dan enam gol sejak bersama Harimau Malaya pada 2021, berkata bermain di Jepun membuatnya lebih menghargai disiplin taktikal dan kepelbagaian gaya yang mentakrifkan Liga J1.
"Bola sepak Jepun jauh berbeza daripada bola sepak Asia Tenggara pada pendapat saya. Jadi, bukan gaya permainan yang mungkin diterjemahkan di atas padang tetapi saya fikir ia lebih kepada pendedahan sistem baharu.
"Saya boleh membantu rakan sepasukan untuk meneroka atau memberitahu mereka apa yang saya pelajari (di Jepun) dan mungkin saya boleh bantu barisan belakang atau serangan untuk mencari penyelesaian ketika kami bergelut dalam sesuatu perlawanan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Cools mengakui bahawa dia seronok beraksi di Jepun dengan setiap pasukan bermain dengan gaya tersendiri.
Kepelbagaian taktik dan kualiti saingan di Jepun, katanya, telah memberikan pengalaman dan pendedahan yang berharga untuk beliau ke peringkat lebih tinggi dalam bola sepak Asia.
Beliau berkata pasukan Malaysia juga telah bertambah baik dari segi keakraban skuad dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan pemain.
"Kita mempunyai asas yang baik. Kita mempunyai ramai pemain berkualiti dalam pasukan sekarang serta ramai pemain muda. Jadi, mereka mempertingkatkan tahap pasukan," katanya.
Meskipun berdepan cabaran berterusan, Cools berkata pasukan negara tetap optimis dan bersatu dalam misi mereka untuk layak ke Piala Asia 2027 menjelang perlawanan Kumpulan F menentang Nepal dalam pusingan kelayakan pada Selasa ini (18 Nov).
Harimau Malaya, di bawah bimbingan jurulatih Peter Cklamovski, menduduki tangga teratas empat pasukan dengan rekod sempurna empat kemenangan berturut-turut, termasuk menundukkan Vietnam, pencabar terdekat mereka 4-0 pada Jun.
Malaysia mengungguli kumpulan dengan 12 mata, diikuti Vietnam (sembilan mata), Laos (tiga mata) dan Nepal tanpa mata.
Hanya juara kumpulan layak ke Pusingan Akhir yang akan diadakan di Arab Saudi pada Januari 2027.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel berhubung isu dokumentasi mereka.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan sekatan yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
FAM diperintahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial