DHAKA, 12 Nov (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa Bangladesh memperketat langkah keselamatan di Dhaka dan daerah bersebelahan ekoran insiden siri keganasan berkaitan dengan keputusan perbicaraan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang bakal diumumkan tidak lama lagi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu.
Parti politik Hasina, Liga Awami yang kini diharamkan oleh pentadbiran sementara mengumumkan sekatan pergerakan seluruh negara pada Khamis. Tindakan itu dibuat sebagai protes terhadap apa yang digelar parti itu sebagai “mahkamah kanggaru”, yang ditubuhkan oleh kerajaan sementara pimpinan penerima Anugerah Nobel Muhammad Yunus, bagi membicarakan Hasina secara tanpa kehadirannya.
Tribunal Jenayah Antarabangsa Khas dijadualkan menetapkan tarikh keputusan pada Khamis, manakala keputusan penuh dijangka diumumkan hujung bulan ini.
Hasina yang meletak jawatan semasa tunjuk perasaan besar-besaran tahun lepas dan kini hidup dalam buangan di India, dituduh melakukan jenayah terhadap kemanusiaan kerana penindasan ganas terhadap penunjuk perasaan. Pihak pendakwa raya menuntut hukuman mati ke atas beliau.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggangarkan tindakan keras kerajaan terhadap protes selama sebulan tahun lepas menyebabkan kematian kira-kira 1,400 orang.
Pada Rabu, kerajaan mengarahkan penempatan pasukan separa tentera Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) di lokasi strategik sekitar Dhaka serta daerah Narayanganj dan Gazipur bagi mengekalkan ketenteraman awam.
Jurucakap BGB Shariful Islam memberitahu dpa pasukan itu dikerahkan bersama anggota polis bagi memperkukuh keselamatan di ibu negara, namun tidak menyatakan jumlah anggota yang terlibat.
Dalam arahan berasingan, kerajaan turut mengarahkan semua lapangan terbang di Bangladesh menempatkan anggota keselamatan pada tahap maksimum untuk memastikan keselamatan penumpang dan kemudahan awam.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Bangladesh (CAAB) juga mengeluarkan surat arahan kepada jabatan di bawahnya untuk meningkatkan pemantauan kebakaran bagi memastikan tindak balas kecemasan yang segera.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial