BANGKOK, 23 Nov (Bernama) -- Banjir berterusan di 10 wilayah selatan Thailand pada pagi Ahad, menjejaskan lebih 124,000 isi rumah dan mendorong mobilisasi sumber bantuan bencana tambahan.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan bahawa situasi banjir di Selatan kekal kritikal, dengan 10 wilayah masih ditenggelami air manakala banjir turut menjejaskan penduduk di 11 wilayah di kawasan Utara dan Tengah Thailand.
Ketua Pengarah DDPM Teerapat Kachamat berkata jabatan itu telah menggerakkan tambahan anggota dengan segera, pasukan operasi dan jentera bantuan bencana dari pusat wilayahnya di seluruh negara bagi memperkukuh operasi di selatan negara itu.
“Pasukan ini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa wilayah bagi memastikan penduduk terjejas menerima bantuan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Teerapat berkata sehingga 6 pagi Ahad (23 Nov), banjir masih melanda 10 wilayah selatan - Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Beliau berkata banjir menjejaskan 86 daerah, 515 daerah kecil dan 3,620 kampung, melibatkan 653,568 isi rumah atau 1,475,089 orang.
“DDPM telah mengarahkan pusat pencegahan bencana wilayah di seluruh negara untuk menggerakkan jentera bantuan dan pasukan operasi ke selatan negara ini bagi menyokong usaha yang diketuai oleh DDPM Wilayah 11 (Surat Thani) dan Wilayah 12 (Songkhla) dalam membantu komuniti yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, di kawasan Utara dan Tengah Thailand, 11 wilayah - Phitsanulok, Nakhon Sawan, Uthai Thani, Sing Buri, Chainat, Ang Thong, Suphan Buri, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Pathum Thani, Nonthaburi dan Nakhon Pathom - masih dilanda banjir akibat limpahan sungai dan banjir kilat di Lembangan Sungai Chao Phraya.
Teerapat berkata banjir di kawasan itu meliputi 49 daerah, 440 daerah kecil dan 2,896 kampung, menjejaskan 144,733 isi rumah atau 488,526 orang.
“Paras air telah mula surut secara keseluruhan. DDPM akan terus memantau situasi dan menyelaras usaha bantuan sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.
Pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi agar mengikuti perkembangan dan amaran rasmi dengan teliti. Mereka yang diarahkan berpindah diminta segera menuju ke kawasan selamat yang ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial