Oleh Tuwaedaniya Meringing
SONGKHLA, 23 Nov (Bernama) -- Semua rakyat Malaysia yang terkandas di hotel-hotel di Hat Yai akibat banjir diminta bersedia di lobi penginapan masing-masing bagi memudahkan operasi pemindahan sementara ke kawasan selamat oleh pihak berkuasa tempatan, menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Konsulat berkata proses koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan pihak berkuasa tempatan di Hat Yai telah bermula dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pejabat Konsulat turut memohon kerjasama semua rakyat Malaysia yang terlibat bagi memastikan urusan pemindahan berjalan lancar.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pegawai bertugas di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +6681-9901930.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan rakyat Malaysia dari kawasan banjir ke lokasi yang lebih selamat.
“Hujan masih turun di Hat Yai, namun paras air banjir sudah menurun daripada paras dada semalam kepada paras lutut hari ini…bantuan makanan dan proses pemindahan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan di Pejabat Konsulat untuk mengumpulkan maklumat semua mangsa warga Malaysia serta lokasi penginapan mereka.
Terdahulu, Ahmad Fahmi bersama Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sitthipong Sitthiprapha telah melawat dapur penyediaan makanan berasaskan sayuran untuk diedarkan kepada semua mangsa banjir di Hat Yai.
Sitthipong berkata sebanyak 2,000 set makanan panas berasaskan sayuran telah dihantar menggunakan trak kepada mangsa yang terkandas di beberapa hotel di Hat Yai.
“Walaupun air mula surut, hujan masih turun. Tidak lebat, tetapi tetap mencabar untuk memindahkan semua mangsa keluar dari bandar Hat Yai menggunakan trak,” jelasnya.
Semalam, menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hat Yai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir yang melanda, namun semuanya dilaporkan selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial