DUNIA > BERITA

SIDANG KEMUNCAK G20 BERMULA DI JOHANNESBURG DENGAN SERUAN MEMPERKUKUH MULTILATERALISME

23/11/2025 07:12 PM

 JOHANNESBURG, 22 Nov (Bernama-Xinhua) -- Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) bermula di sini pada Sabtu, merupakan kali pertama acara itu diadakan di benua Afrika, lapor Xinhua.

Bertemakan “Solidariti, Kesamaan dan Kemampanan”, sidang kemuncak dua hari itu menjadi detik penting bagi Afrika ketika benua itu berusaha memperkukuh peranannya dalam tadbir urus global dan memajukan keutamaan pembangunan yang dikongsi negara-negara Selatan Global.

“G20 menegaskan nilai dan kepentingan multilateralisme. Ia mengakui bahawa cabaran yang kita hadapi hanya dapat ditangani melalui kerjasama, kolaborasi dan perkongsian,” kata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dalam ucapan pembukaan.

“Penerimaan deklarasi sidang kemuncak ini menghantar isyarat penting kepada dunia bahawa multilateralisme mampu memberikan hasil,” kata Ramaphosa. “Ia menunjukkan bahawa sebagai pemimpin G20, kita tetap berpegang kepada ikrar untuk tidak meninggalkan mana-mana individu, komuniti atau negara.”

Sejak menyandang jawatan Presiden G20 tahun lepas, Afrika Selatan memberi tumpuan kepada isu kritikal bagi negara membangun. Empat keutamaannya ialah memperkukuh keupayaan tindak balas dan daya tahan bencana, mempromosikan kemampanan hutang bagi negara berpendapatan rendah, menggerakkan pembiayaan untuk peralihan tenaga yang adil, serta memanfaatkan mineral kritikal untuk pertumbuhan inklusif dan mampan.

“Sebagai anggota pengasas G20, Afrika Selatan berusaha memastikan keutamaan pembangunan negara-negara Selatan Global dan benua Afrika diperkukuh dan dimasukkan secara konsisten dalam agenda G20,” kata Ramaphosa.

Pemerhati berkata sidang kemuncak di Johannesburg mencerminkan pengaruh global Afrika yang semakin meningkat serta jangkaan bahawa China dan negara-negara Selatan Global lain akan membantu membina konsensus lebih kukuh mengenai multilateralisme dan pembangunan terangkum.

Amerika Syarikat enggan menghadiri sidang kemuncak itu dan menyatakan akan menolak sebarang dokumen hasil sidang sebagai konsensus G20 tanpa persetujuannya.

Jurucakap Presiden Ramaphosa, Vincent Magwenya, memberitahu media bahawa “deklarasi sidang kemuncak telah diterima sebulat suara oleh para pemimpin di sini di Afrika Selatan”.

Afrika Selatan mengambil alih jawatan Presiden bergilir G20 pada 1 Dis 2024, menjadi negara Afrika pertama memegang jawatan itu. Amerika Syarikat dijadual mengambil alih kepresidenan G20 pada 1 Dis 2025.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan