CAPE TOWN, 13 Jan (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa kawal selia produk kesihatan Afrika Selatan pada Isnin mengeluarkan amaran berhubung suplemen kesihatan kanak-kanak mengandungi zink pikolinat dan selenium yang dibimbangi menjejaskan kesihatan, serta mengumumkan kawal selia yang lebih ketat, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Kawal Selia Produk Kesihatan Afrika Selatan (SAHPRA), pihaknya telah mengesan produk mengandungi zink pikolinat (sumber zink) dan/atau selenium yang dikhususkan untuk penggunaan kanak-kanak di pasaran.
SAHPRA menegaskan bahawa kedua-dua bahan itu tidak dibenarkan dalam suplemen kesihatan untuk kanak-kanak di bawah garis panduan sedia ada.
Menurut SAHPRA, zink pikolinat boleh menyebabkan kesan samping termasuk ketidakhadaman, cirit-birit, sakit kepala, mual dan muntah.
Selain itu, tahap bioketersediaan yang tidak menentu menjadikan kesannya sukar diramal dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Mengenai selenium, pihak berkuasa itu memberi amaran walaupun pengambilannya mungkin diperlukan dalam situasi tertentu namun potensi kesan sampingan lebihan dos seleneium adalah membimbangkan apabila dibekalkan dalam ubat atau sumplemen untuk kanak-kanak.
Menurut SAHPRA, produk-produk terbabit sering dijual sebagai "penggalak imun" untuk kanak-kanak dan dipromosikan bagi merawat demam, selesema, cirit-birit dan keadaan berkaitan kulit, justeru ia perlu didaftarkan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial