BEIJING, 25 Nov (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menegaskan bahawa China dan Amerika Syarikat (AS) harus mengekalkan momentum positif dalam perkembangan hubungan dua hala dan bergerak ke arah yang betul berlandaskan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan saling menguntungkan.
Xi berkata demikian dalam perbualan telefonnya dengan Presiden AS Donald Trump pada Isnin.
Menurutnya, pertemuan beliau dan Trump di Busan bulan lalu telah mencapai persefahaman penting.
Pertemuan itu, berjaya “membetulkan haluan kapal besar hubungan China-AS” dan menyuntik momentum untuk memastikan kapal itu berlayar secara stabil, sekali gus memberi isyarat positif kepada dunia, katanya.
Xi menekankan bahawa kerjasama antara China dan AS akan membawa hasil menang-menang, manakala konfrontasi hanya akan merugikan kedua-dua negara, sesuatu yang menurutnya telah berulang kali dibuktikan melalui pengalaman sejarah.
Beliau juga berkata kedua-dua negara perlu memperluas senarai kerjasama dan pada masa sama mengecilkan senarai isu yang menjadi pertikaian bagi mencapai lebih banyak kemajuan positif serta membuka ruang kerjasama baharu demi manfaat rakyat kedua-dua negara dan dunia.
China dan AS pernah berganding bahu menentang fahaman fasis dan militarisme, justeru kedua-dua negara perlu bersama-sama memelihara hasil kemenangan perang terbabit, katanya.
Trump, dalam perbualan itu memuji Xi sebagai seorang pemimpin yang unggul.
Beliau berkata pertemuan mereka di Busan berlangsung dengan baik dan beliau bersetuju dengan pandangan Xi mengenai masa depan hubungan dua hala.
Trump berkata kedua-dua pihak sedang melaksanakan konsensus yang dicapai pada pertemuan itu.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial