DUNIA > BERITA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERKESAN DALAM BENCANA HUJAN DI SUMATERA - KONSULAT JENERAL

27/11/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia mengesahkan bahawa tiada rakyat negara ini yang dilaporkan terjejas secara langsung akibat kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Provinsi Sumatera Utara (Sumut), Sumatera Barat (Sumbar) dan Aceh setakat ini.

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dalam satu hantaran di laman sosial Facebook pada Khamis berkata pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan situasi banjir dan tanah runtuh yang berlaku di ketiga-tiga wilayah itu susulan hujan lebat berterusan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ia turut menasihatkan supaya warganegara Malaysia yang sedang berada di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh atau merancang perjalanan ke kawasan berkenaan agar sentiasa berwaspada, memantau perkembangan terkini melalui saluran media rasmi, serta mematuhi segala arahan pihak berkuasa tempatan.

Orang ramai juga dinasihatkan menyemak status perjalanan dengan syarikat penerbangan atau pengangkutan masing-masing sekiranya berlaku sebarang perubahan dari semasa ke semasa, menurut konsulat.

“Pihak berkuasa tempatan Indonesia melalui Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) telah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan serta operasi bantuan di kawasan-kawasan yang terjejas teruk, terutamanya di kawasan rendah dan kawasan lereng bukit yang terdedah kepada risiko banjir serta tanah runtuh di ketiga-tiga provinsi itu,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan