KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Airwallex, platform kewangan global terkemuka untuk perniagaan moden, telah meraih US$330 juta dalam pusingan Pendanaan Siri G sekali gus meletakkan penilaian Airwallex pada US$8 bilion, meningkat kira-kira 30 peratus sejak Pendanaan Siri F enam bulan lalu.
Pelaburan baharu ini akan terus memacu pertumbuhan Airwallex di Amerika Syarikat (AS) serta di pasaran utama di seluruh dunia, sambil memacu peningkatan pengambilan pekerja dan pembangunan produk dalam bidang AI.
“Kami percaya masa depan perbankan global akan menjadi tanpa sempadan, bersifat masa nyata dan pintar,” kata Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Airwallex, Jack Zhang dalam satu kenyataan pada Isnin.
“Penyedia tradisional tidak lagi sepadan dengan cara operasi perniagaan moden, dan pelabur kami memahami bahawa kami kini berada di barisan hadapan dalam mendefinisikan kategori ini.
“Kami sedang membina alternatif moden, iaitu satu platform tunggal yang memacu perbankan global, pembayaran, bil, perbendaharaan dan perbelanjaan melalui infrastruktur kewangan proprietari.
“Dana ini akan mempercepat pertumbuhan kami, mengukuhkan kepimpinan teknikal serta kedudukan kami di AS serta di pasaran utama,” katanya.
Pendanaan Siri G itu diketuai oleh Addition, bersama penyertaan T. Rowe Price, Activant, Lingotto, Robinhood Ventures dan TIAA Ventures.
Sementara itu Lee Fixel dari Addition berkata Airwallex sedang membentuk semula landskap perbankan perniagaan global.
“Sistem kewangan tradisional tidak direka untuk perniagaan tanpa sempadan, dan Airwallex berada dalam kedudukan unik untuk menangani cabaran ini.
“Dengan infrastruktur kewangan, perisian dan keupayaan AI global, syarikat ini juga berada pada landasan sangat kukuh untuk menerajui masa depan perbankan perniagaan global,” katanya.
Seiring dengan pusingan pendanaan ini, Airwallex mengumumkan pembukaan ibu pejabat global kedua di San Francisco bagi menempatkan pasukan produk teras, kejuruteraan, perkongsian strategik dan strategi msuk pasaran, di pusat inovasi dan bakat AI global tersebut.
Pasaran AS merupakan tumpuan penting dalam strategi global Airwallex.
Airwallex merancang untuk menggandakan tenaga kerja di AS kepada lebih 400 kakitangan dalam tempoh 12 bulan akan datang, dan turut menggandakan ruang pejabatnya di San Francisco bagi menyokong pengembangan itu.
Ditubuhkan di Australia pada 2015, Airwallex kini mempunyai lebih 2,000 kakitangan di seluruh dunia dan merancang menambah lebih 50 peratus lagi menjelang akhir 2026.
Pertumbuhan ini akan terus memacu pelaburan dalam infrastruktur serta kerjasama global.
Airwallex sedang membangunkan kumpulan ejen AI khusus untuk melaksanakan aliran kerja kewangan sebenar, yang meletakkan asas untuk jabatan kewangan autonomi sepenuhnya.
Produk pertama yang diperkenalkan ialah rangkaian ejen AI dalam platform pengurusan perbelanjaan Airwallex.
Expense Submission Agent, yang kini tersedia, mengumpul resit daripada pelbagai sumber, memadankannya secara automatik dengan transaksi, mengkategorikan perbelanjaan dan melengkapkan semua maklumat yang diperlukan untuk penyerahan yang lancar.
Expense Policy Agent, yang akan dilancarkan dalam minggu terdekat, akan mengesahkan kesahihan resit, menyemak pematuhan penyerahan mengikut dasar syarikat, dan memaklumkan sebarang pengecualian untuk semakan manual sebelum kelulusan akhir.
Lebih daripada 200,000 syarikat di seluruh dunia, daripada syarikat permulaan hingga perusahaan awam, menggunakan Airwallex untuk menguruskan operasi perbankan dan kewangan global mereka, atau untuk membina dan mengewangkan produk kewangan mereka sendiri menggunakan infrastruktur Airwallex.
Airwallex memegang 80 lesen merentas Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah, dan Asia-Pasifik, membentuk satu daripada infrastruktur kewangan paling komprehensif di dunia.
Rangka terkawal ini menggerakkan produk Airwallex pada skala global, termasuk penerimaan pembayaran, pengebilan, akaun global, kad korporat, dan pengurusan perbelanjaan.
Syarikat ini beribu pejabat bersama di San Francisco dan Singapura dengan lebih 2,000 pekerja merentasi 26 pejabat.
Untuk maklumat lanjut boleh layari www.airwallex.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial