BEIJING, 9 Dis (Bernama-CMG) -- Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) mengadakan mesyuarat untuk menganalisis dan meneliti gerak kerja ekonomi bagi tahun 2026 serta membahaskan ‘Peraturan mengenai Kepimpinan PKC dalam Memartabatkan Penguatkuasaan Undang-undang dalam Pentadbiran Negara secara Menyeluruh' di sini pada Isnin.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping mempengerusikan mesyuarat itu.
Menurut mesyuarat itu, untuk menjayakan gerak kerja ekonomi pada tahun depan, usaha perlu dilakukan untuk menerapkan konsep pembangunan baharu secara lengkap, tepat dan menyeluruh, mempercepat pembentukan Paradigma Pembangunan Baharu, memacu pembangunan berkualiti tinggi, memastikan pembangunan ekonomi berada di landasan yang lancar dan mapan, merancakkan landskap ekonomi domestik dan berhemah ketika menangani pertelingkahan dalam perdagangan luar, serta meningkatkan penyelarasan antara dua bidang utama iaitu pembangunan ekonomi dan keamanan negara.
Di samping itu, dasar makro yang lebih proaktif dan berkesan perlu dikemas kini dan dilaksanakan bagi meningkatkan jangkaan terhadap masa depan, dan ketepatan dalam penyelarasan tindakan yang bersasar.
Perluasan permintaan domestik hendaklah diteruskan, penstrukturan sektor pembekal dioptimumkan , menjana 'Kuasa Produktif Berkualiti Baharu' yang serasi dengan keadaan setempat, memacu pembinaan pasaran bersatu di peringkat kebangsaan, berusaha untuk mengekalkan kestabilan dalam pengambilan pekerja dan pengoperasian sektor korporat, menambah unsur kepastian ke dalam unjuran pasaran, dan mendorong pertumbuhan ekonomi dari segi kualiti dan kuantiti yang munasabah.
Keharmonian dan kestabilan sosial juga dijadikan keutamaan bagi mewujudkan permulaan yang baik dalam pelaksanaan Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-15 (2026-2030).
Menurut mesyuarat itu, langkah-langkah perlu diambil untuk terus melaksanakan dasar fiskal yang lebih proaktif dan dasar monetari yang longgar pada tahun depan, mempertahankan permintaan domestik sebagai penggerak utama dan memperkasakan pasaran domestik, memacu pembangunan yang inovatif, memperincikan pembaharuan, terus meningkatkan tahap keterbukaan kepada dunia luar, dan penyelarasan antara pembangunan kawasan bandar dengan kawasan luar bandar serta antara daerah.
Antara aspek-aspek lain yang disentuh termasuk matlamat mencapai kemuncak pelepasan karbon dan peneutralan karbon, transformasi industri tenaga hijau secara menyeluruh, masalah hidup dan kesejahteraan rakyat, serta pencegahan dan pengendalian risiko dalam sektor utama.
--BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial