KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Rusia berharap cadangan lama negara itu bagi perjanjian perjalanan bebas visa timbal balas dengan Malaysia dapat direalisasikan tidak lama lagi, dengan kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan butiran teknikal yang masih berbaki, kata Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov.
Beliau berkata rundingan yang bermula pada 2014 itu telah diaktifkan semula tahun ini, dengan Moscow mengemukakan draf perjanjian terbaru kepada Kuala Lumpur pada akhir Oktober.
“Terdapat sedikit sahaja perbezaan dalam kedudukan kami. Kami kini menunggu maklum balas daripada pihak Malaysia, dan saya berharap kedua-dua pihak dapat mencapai penyelesaian yang boleh diterima bersama,” katanya pada sesi taklimat media pada Rabu.
Latypov menekankan bahawa sebarang perjanjian mesti berasaskan prinsip timbal balas, memandangkan rakyat Malaysia memerlukan visa untuk memasuki Rusia, manakala warga Rusia tidak memerlukan visa untuk ke Malaysia.
Beliau berkata perkara yang dicadangkan itu akan membenarkan kemasukan bebas visa bagi semua kategori pelawat jangka pendek, termasuk pelancong dan pelajar, namun tidak melibatkan penginapan jangka panjang untuk tujuan kerja atau penempatan diplomatik, yang memerlukan permit berasingan.
Duta Besar itu turut menyatakan minat kukuh dan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Rusia untuk melancong ke Malaysia, dengan kira-kira 130,000 ketibaan direkodkan dari Januari hingga November tahun ini, berbanding hanya 4,000 rakyat Malaysia yang melawat Rusia dalam tempoh sama.
Beliau berkata rejim bebas visa akan membantu mengimbangi jurang ini dan mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Bagi menarik lebih ramai pelawat Malaysia, Rusia telah memperluas sistem e-visa, membolehkan rakyat Malaysia memohon secara dalam talian dan menerima kelulusan dalam tempoh tiga hari.
Rusia juga mempromosikan persekitaran pelancongan lebih mesra Muslim, termasuk penyediaan makanan halal yang lebih meluas, hotel bertauliah halal serta rangka kerja pensijilan yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mengakui ketiadaan penerbangan terus kekal sebagai cabaran utama pertumbuhan pelancongan, Latypov berkata perbincangan antara kementerian pengangkutan kedua-dua negara sedang berjalan, walaupun isu berkaitan pengisian minyak, insurans dan sekatan masih menyukarkan operasi syarikat penerbangan.
“Namun, jika ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan perniagaan, kita akan menemui penyelesaian. Kita berada di landasan yang betul,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerjasama budaya turut berkembang, termasuk pembukaan pusat bahasa Rusia di Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, serta rancangan untuk memperkenalkan “Hari Kebudayaan Bandaraya Moscow” di Kuala Lumpur tahun hadapan.
Latypov turut berharap Malaysia dapat menganjurkan program serupa di Rusia bagi meningkatkan persefahaman bersama.
“Rakyat Malaysia dialu-alukan ke Rusia. Kami melakukan yang terbaik untuk mewujudkan suasana yang selesa bagi pelancong Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial