SYDNEY, 15 Dis (Bernama-Xinhua) -- Angka korban akibat insiden tembakan di Bondi Beach, Sydney pada Ahad meningkat kepada 16 orang, dengan seorang bapa dan anak lelakinya dikenal pasti sebagai suspek, lapor Xinhua.
Polis di negeri New South Wales (NSW) memaklumkan pada pagi Isnin bahawa 16 kematian telah disahkan susulan kejadian berkenaan.
Dalam satu kenyataan, polis berkata 14 mangsa maut di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Mangsa yang terkorban berusia antara 10 hingga 87 tahun, termasuk seorang daripada penyerang.
Seramai 40 orang lagi masih menerima rawatan di hospital setakat pagi Isnin, dengan lima daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Pesuruhjaya Polis NSW, Mal Lanyon, berkata dalam sidang media pada pagi Isnin bahawa dua suspek terbabit ialah seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya yang berusia 24 tahun.
Menurut beliau, lelaki berusia 50 tahun itu, yang maut di lokasi kejadian, merupakan pemegang lesen senjata api dan memiliki enam pucuk senjata secara sah.
Insiden tembakan itu berlaku kira-kira 6.47 petang waktu tempatan pada Ahad apabila kedua-dua suspek melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya 1,000 orang, yang berhimpun di pantai berkenaan bagi menyambut hari pertama perayaan Yahudi, "Hanukkah".
Lanyon secara rasmi mengisytiharkan kejadian itu sebagai serangan pengganas pada malam Ahad, sambil menegaskan bahawa siasatan berhubung motif serangan masih diteruskan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata serangan itu merupakan “kejahatan mutlak” dan Australia akan melakukan apa sahaja yang perlu bagi membanteras anti-Yahudi.
“Ia satu wabak dan kita akan membanterasnya bersama-sama,” katanya.
Kejadian itu merupakan insiden tembakan paling berdarah di Australia sejak 35 orang terbunuh dalam tragedi Port Arthur di negeri pulau Tasmania pada 1996, yang kemudiannya mendorong perubahan besar terhadap undang-undang pemilikan senjata api di negara itu.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial