SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: MALAYSIA UNGGULI SNUKER 6-RED BERPASUKAN

15/12/2025 10:40 PM

BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Trio negara Thor Chuan Leong, Moh Keen Hoo dan Lim Kok Leong tampil cemerlang bagi memastikan pingat emas snuker dalam acara 6-Red berpasukan lelaki menjadi milik Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 hari ini.

Dalam aksi berlangsung di Thunder Dome di sini, gandingan negara itu mempamerkan penguasaan menerusi kemenangan empat frame menewaskan Filipina yang dibarisi Michael Angelo, Alvin Barbero dan Basil Alshajjar yang hanya mengutip satu frame.

Aksi frame pertama menyaksikan Kok Leong tewas, sebelum Thor yang juga pemain berpengalaman negara berjaya mengikat kedudukan 1-1.

Keen Hoo dan Thor kemudian memberikan kelebihan buat negara apabila menang di frame berikutnya, sebelum Thor dan Kok Leong masing-masing mengungguli kemenangan di frame keempat dan kelima.

Thor yang membuka akaun pingat kem snuker menerusi acara 6-Red perseorangan lelaki pada Jumaat berkata sasaran dua pingat emas yang ditetapkan telah dicapai, namun mengharapkan satu lagi emas berjaya dijelmakannya mahupun Kok Leong dalam acara snuker perseorangan lelaki.

“Masih ada lagi satu acara dan kami akan cuba buat yang terbaik. Harap kejayaan hari ini jadi pendorong untuk memburu emas yang ketiga,” katanya kepada Bernama

Kedua-dua pemain itu menempah slot ke pusingan suku akhir yang akan berlangsung esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan