ISTANBUL, 15 Dis (Bernama-Anadolu) -- Delegasi Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine mengadakan perbincangan di Berlin pada Ahad yang menumpukan pelan keamanan 20 perkara serta agenda ekonomi, menurut ringkasan mesyuarat itu, lapor Anadolu Ajansi.
Mesyuarat yang melibatkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, utusan khas AS Steve Witkoff, menantu Presiden AS Donald Trump, Jared Kushner serta delegasi kedua-dua negara itu berlangsung lebih lima jam, menurut ringkasan yang dikongsi Witkoff di platform X.
Menurut kenyataan berkenaan, wakil kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara mendalam berhubung pelan keamanan, agenda ekonomi serta isu-isu lain.
“Banyak kemajuan telah dicapai dan mereka akan bertemu semula pagi esok,” menurut kenyataan itu.
Jerman menjadi tuan rumah rundingan berkenaan menjelang satu sidang kemuncak lebih besar pada Isnin yang menghimpunkan Zelenskyy, pemimpin Eropah serta wakil Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pegawai AS akan menyertai mesyuarat tersebut.
Zelenskyy tiba di Berlin pada Ahad bagi mengadakan perbincangan intensif mengenai potensi gencatan senjata dan kerangka keamanan dengan Rusia.
Sebelum mesyuarat itu, Presiden Ukraine berkata Kyiv kini mengusahakan jaminan keselamatan dua hala dengan Washington, selain jaminan daripada negara-negara Eropah dan rakan lain termasuk Kanada dan Jepun.
Mesyuarat di Berlin itu merupakan yang terbaharu dalam siri rundingan, memfokuskan kerangka keamanan bagi menamatkan perang Rusia-Ukraine, susulan perbincangan terdahulu yang diadakan di Switzerland dan AS.
Pada November, pegawai-pegawai kedua-dua pihak bertemu di Geneva dan merangka satu “kerangka keamanan yang diperhalusi”, mengemas kini pelan AS yang sebelum ini merangkumi 28 perkara.
Witkoff dan Kushner kemudiannya bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow pada 2 Dis bagi membincangkan draf kerangka berkenaan.
Selepas itu, delegasi kedua-dua pihak mengadakan rundingan susulan di Florida yang disifatkan sebagai konstruktif oleh kedua-dua pihak.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial