NEW YORK, 16 Dis (Bernama-WAFA) -- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Isnin meluluskan dengan majoriti besar satu resolusi yang menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Sebanyak 164 negara mengundi menyokong resolusi itu, manakala hanya lapan negara mengundi menentangnya iaitu Israel, Amerika Syarikat, Micronesia, Argentina, Paraguay, Papua New Guinea, Palau dan Nauru. Sementara itu, Ecuador, Togo, Tonga, Panama, Fiji, Cameroon, Kepulauan Marshall, Samoa dan Sudan Selatan memilih untuk berkecuali.
Kelulusan resolusi itu mencerminkan pendirian antarabangsa yang menolak langkah pendudukan Israel serta amalan penempatan kolonial yang menghalang keupayaan rakyat Palestin untuk melaksanakan hak mereka menentukan nasib sendiri dan hidup bermaruah dalam sebuah negara merdeka.
Resolusi itu turut mengambil maklum pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menyatakan bahawa pendudukan Israel ke atas tanah Palestin adalah menyalahi undang-undang dan mesti ditamatkan secepat mungkin, berikutan kesannya yang serius terhadap keupayaan rakyat Palestin melaksanakan hak penentuan nasib sendiri seperti yang dijamin di bawah Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Pemerhati Tetap Negara Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Riyad Mansour, menyambut baik resolusi itu serta sokongan padu yang diterimanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang mengundi menyokong dan menegaskan kewujudan konsensus antarabangsa yang luas terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial