DUNIA > BERITA

AMRO LANCAR PROGRAM RINTIS "SPIRIT" PERKUKUH KUTIPAN CUKAI DI KEMBOJA

17/12/2025 03:03 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 17 Dis (Bernama) -- Kemboja memulakan usaha untuk meningkatkan kecekapan kutipan cukai bagi menambah hasil domestik negara itu pada tahun hadapan, yang penting bagi membiayai perbelanjaan awam.

Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Kemboja bekerjasama untuk mewujudkan sistem percukaian yang lebih cekap dan mampan.

Kedua-dua pihak akan melancarkan satu projek bantuan teknikal pada awal 2026 bagi memperkukuh mobilisasi hasil domestik negara itu, sekali gus menandakan projek rintis pertama ASEAN+3 di bawah Instrumen Penambahbaikan dan Semakan Dasar Struktur dengan Bantuan Teknikal (SPIRIT).

“Pelancaran SPIRIT menandakan pencapaian penting bagi AMRO dan ekonomi negara anggota kami. Dengan menangani isu struktur jangka panjang, SPIRIT membolehkan AMRO mengintegrasikan pemantauan makroekonomi dengan bantuan teknikal yang disasarkan secara lebih rapat,” kata Ketua Pasukan AMRO bagi Bantuan Teknikal, Aziz Durrani, kepada Bernama.

Projek rintis itu, yang disokong oleh pembiayaan awal daripada Tabung Amanah Bantuan Teknikal China AMRO, akan membantu kementerian berkenaan meningkatkan keupayaannya untuk menilai dan menambah baik sumber hasil, termasuk insentif cukai, cukai karbon dan hasil bukan cukai, menurut AMRO dalam satu kenyataan.

SPIRIT, yang diluluskan oleh menteri kewangan dan gabenor bank pusat ASEAN+3 pada Mei 2025, merupakan instrumen sukarela dan tidak mengikat yang menawarkan projek bantuan teknikal bertema yang telah ditetapkan bagi reformasi struktur merentasi ekonomi negara anggota.

Tidak seperti projek bantuan teknikal lain yang memberi tumpuan kepada isu tertentu dan berlangsung antara enam hingga 12 bulan, program ini akan menyediakan sokongan berterusan serta bimbingan pakar mengenai penilaian serta cadangan sehingga tiga tahun.

“Pendekatan ini membolehkan kami bukan sahaja mengenal pasti risiko yang muncul dan mendiagnosis cabaran, tetapi juga menyediakan sokongan langsung dan berterusan untuk menanganinya.

“Secara keseluruhannya, ia akan membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, kestabilan kewangan dan pengurusan risiko bagi semua anggota di rantau ASEAN+3 secara kolektif,” kata Aziz.

AMRO dan kementerian itu menandatangani surat hasrat bagi memformalkan projek berkenaan pada 26 November di Hong Kong, China.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan