DUNIA > BERITA

MENTERI LUAR THAILAND HADIRI MESYUARAT KHAS ASEAN BINCANG SITUASI THAILAND-KEMBOJA

19/12/2025 11:49 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow akan menghadiri Mesyuarat  Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada Isnin (22 Dis) bagi membincangkan perkembangan situasi antara Thailand dan Kemboja.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata Thailand kekal terbuka untuk mengadakan dialog dalam rangka kerja ASEAN dan menyifatkan blok serantau itu mampu memainkan peranan membina berdasarkan fakta.

Beliau berkata mesyuarat itu akan memberi peluang kepada Thailand untuk membentangkan laporan fakta mengenai perkembangan semasa serta mengulangi pendiriannya, termasuk komitmen terhadap penyelesaian mampan yang memerlukan keikhlasan daripada kedua-dua pihak.

“Sebarang perbincangan mengenai gencatan senjata haruslah berdasarkan situasi sebenar di lapangan, dan Thailand sedang bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Diraja Thai,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Nikorndej berkata penyertaan Thailand dalam mesyuarat itu akan berpandukan prinsip melindungi kepentingan negara, kedaulatan dan integriti wilayah, di samping memastikan keselamatan rakyatnya.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Disember berkata mesyuarat itu akan membolehkan ASEAN berbincang secara kolektif, menetapkan fakta di lapangan serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan gencatan senjata segera.

Anwar berkata keputusan untuk mengadakan mesyuarat itu, yang merupakan inisiatif Malaysia dan ASEAN bertujuan meredakan ketegangan serta mengelakkan peningkatan konflik, dicapai susulan rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja.

Ketegangan sempadan yang berlarutan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak pada Julai lepas, menyaksikan pertempuran bersenjata selama beberapa hari sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk gencatan senjata pada 28 Julai.

Kedua-dua negara kemudiannya menandatangani Perjanjian Damai KL pada 26 Oktober di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini sehingga mengakibatkan beberapa kematian dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan