DUNIA > BERITA

KRISIS KEMANUSIAAN DI GAZA KEKAL MERUNCING DI TENGAH-TENGAH KEBULURAN, KEMUSNAHAN – UNRWA

23/12/2025 05:42 PM

ISTANBUL, 23 Dis (Bernama-Anadolu) -- Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Selasa menyatakan rakyat Palestin di Genting Gaza terus bergelut dengan keadaan kemanusiaan yang meruncing, yang masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan selama lebih dua bulan, lapor Anadolu Ajansi.

"Di Gaza, keadaan kekal menyedihkan dan keperluan kemanusiaan sangat mendesak. Keluarga-keluarga terus menderita akibat kekurangan bekalan yang teruk dan kemusnahan yang meluas," kata agensi itu dalam satu kenyataan di platform X.

Memetik laporan terbaharu Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), kenyataan itu mendedahkan seramai 1.6 juta orang kini berdepan masalah ketidakjaminan makanan yang akut di wilayah berkenaan.

"Gaza kekal dalam krisis kebuluran buatan manusia," kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini, seperti yang dipetik dalam kenyataan itu.

Agensi itu menegaskan bahawa pasukannya, yang juga merupakan mangsa perpindahan, masih bekerja di lapangan bagi menyokong keluarga-keluarga yang terjejas.

Perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 10 Oktober di Semenanjung Gaza bagi menamatkan perang genosid oleh Israel selama dua tahun yang telah mengorbankan hampir 71,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, secara purata hanya 244 trak yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu setiap hari, berbanding 600 trak sehari yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

Demikian juga bagi purata jumlah trak bahan api yang tidak melebihi lima buah sehari, walaupun sekurang-kurangnya 50 trak bahan api ditetapkan di bawah perjanjian itu. Ini menunjukkan kadar pematuhan keseluruhan tidak melebihi 41 peratus.

Pejabat itu turut melaporkan sebanyak 875 pelanggaran gencatan senjata telah dilakukan oleh tentera Israel, yang mengakibatkan kematian 411 orang dan kecederaan kepada 1,112 yang lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan