DUNIA > BERITA

PRESIDEN TURKIYE TUDUH ISRAEL SEKAT BANTUAN GAZA DENGAN "ALASAN DIREKA-REKA"

24/12/2025 11:11 PM

ISTANBUL, 24 Dis (Bernama-Anadolu) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Rabu berkata Israel gagal menunaikan komitmennya dan dengan sengaja menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

“Israel tidak menepati janji dan sentiasa mewujudkan kesukaran serta halangan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan dengan alasan yang direka-reka,” kata Erdogan ketika berucap pada mesyuarat ketua-ketua wilayah diperluaskan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara.

Erdogan berkata walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan di Gaza sejak 11 Okt, kesengsaraan masih berterusan di kawasan kediaman yang telah diubah Israel menjadi runtuhan akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata Turkiye akan meningkatkan sokongannya kepada rakyat Palestin dalam tempoh akan datang.

“Dalam tempoh tiga bulan yang diberkati ini, kami akan meningkatkan bantuan kepada Palestin. Sebagai Turkiye, kami tidak akan berundur, kami tidak akan berdiam diri, kami tidak akan melupakan, dan kami tidak akan sesekali meninggalkan Gaza sendirian,” katanya.

Menggambarkan pendirian Turkiye sebagai sebahagian daripada dasar kemanusiaan yang lebih luas, Erdogan berkata negara itu secara konsisten tampil membantu mereka yang memerlukan.

“Dari Caucasus hingga Balkan, dari Afrika hingga Asia, sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan, kami telah bergegas membantu. Begitulah keadaannya semalam, begitulah hari ini, dan ia tidak akan berubah pada masa depan,” katanya.

Erdogan menegaskan bahawa walaupun Turkiye menyokong keamanan, negara itu tidak akan menerima ketidakadilan.

“Semua pihak perlu tahu bahawa, seperti pada masa lalu, kami juga menyokong keamanan dan ketenangan hari ini. Namun ini tidak bermakna kami merelakan ketidakadilan atau berdiam diri berdepan penindasan. Tidak sama sekali,” katanya.

Beliau turut berkata Turkiye akan mempertahankan haknya dengan tegas dalam pertikaian serantau.

“Sama ada di Mediterranean Timur, Laut Aegean atau di mana-mana sahaja, kami tidak melanggar hak sesiapa dan tidak akan membenarkan hak kami sendiri dicabuli,” katanya.

Menyentuh keselamatan dalam negara, Erdogan berkata usaha Turkiye ke arah mewujudkan “Turkiye bebas keganasan” telah mula mengurangkan sentimen pesimisme di luar sempadannya, sambil menambah bahawa komuniti Arab, Kurdi, Turkmen, Sunni dan Syiah kini memandang masa depan dengan harapan baharu.

“Turkiye akhirnya telah memulakan laluan ke arah keamanan, keselamatan, pembangunan dan kemakmuran, dan insya-Allah, kami akan menempuh laluan ini dengan sabar hingga ke penghujungnya,” katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan