DUNIA > BERITA

PEMBANGUNAN HIJAU CIRI MENONJOL MODENISASI ALA CHINA - MFA

26/12/2025 02:56 PM

BEIJING, 26 Dis (Bernama-CMG) -- Pembangunan hijau merupakan antara ciri menonjol dalam modenisasi ala China, kata jurucakap Kementerian Luar China (MFA) Lin Jian pada Khamis.

Jurnal Science Amerika Syarikat baru-baru ini mengeluarkan senarai sepuluh kemajuan saintifik utama bagi 2025, yang menyaksikan 'pertumbuhan berterusan tenaga boleh diperbaharui' yang terutamanya diterajui China menduduki tempat teratas.

Menurut Lin, China berjaya membangunkan rangka dasar berkaitan pengurangan pelepasan karbon yang paling lengkap serta sistem tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia.

Sepanjang pelaksanaan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 bagi tempoh 2021 hingga 2025, produk tenaga angin dan fotovolta yang dieksport China telah membantu negara-negara berkaitan mengurangkan pelepasan kira-kira 4.1 bilion tan karbon dioksida, katanya.

Di samping itu, beliau berkata China turut aktif berkongsi hasil pembangunan hijau serta memberikan sokongan mengikut kemampuan kepada negara-negara Selatan Global.

Setakat Oktober tahun ini, China menandatangani 55 memorandum persefahaman (MoU) berkaitan perubahan iklim dengan 43 negara membangun.

Lin menegaskan bahawa dalam senario tadbir urus iklim global yang berdepan “defisit tindakan”, China akan terus bekerjasama rapat dengan semua negara bagi menangani pelbagai cabaran, sekali gus menggerakkan pembangunan mampan di peringkat global.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan