NAGOYA, 25 Dis (Bernama-Kyodo) -- Toyota Motor Corp. berkata pada Khamis yang pengeluaran globalnya pada November susut 5.5 peratus berbanding setahun lalu kepada 821,723 unit, merupakan penurunan pertama dalam tempoh enam bulan, disebabkan oleh pengeluaran yang perlahan di China dan Jepun, lapor Kyodo News.
Jualan global menurun 2.2 peratus kepada 900,011 kenderaan, penurunan pertama dalam tempoh 11 bulan, dengan jualan di China merosot 12.1 peratus kepada 154,645 unit, menurut pengeluar automotif terbesar dunia dari segi jumlah.
Pengeluaran luar negara Toyota turun 3.4 peratus kepada 563,546 kenderaan, dengan pengeluaran di China menjunam 14.0 peratus kepada 145,707 unit susulan berakhirnya subsidi kerajaan di kawasan yang lebih luas di pasaran utama Asia itu.
Pengeluaran di Indonesia merosot 11.2 peratus ekoran keadaan pasaran yang sukar akibat tapisan pinjaman yang ketat serta pengenalan cukai tambahan, menurut syarikat automotif itu.
Pengeluaran domestik di Jepun merudum 9.7 peratus kepada 258,177 unit berikutan hari operasi kilang yang kurang.
Sementara itu, pengeluaran di Amerika Syarikat (AS) melonjak 9.0 peratus kepada 107,953 unit didorong oleh permintaan kukuh terhadap kenderaan hibrid, walaupun pengeluar automotif Jepun itu berdepan tarif yang lebih tinggi dikenakan oleh pentadbiran AS.
Walaupun jualan luar negara Toyota merosot 2.6 peratus kepada 769,789 kenderaan, jualan di AS meningkat 2.7 peratus kepada 212,772 unit, menunjukkan pemulihan selepas penggantungan pengeluaran akibat penarikan balik beberapa model tahun lalu.
Sebaliknya, jualan di China kekal perlahan berikutan penamatan subsidi dan pengguna menangguhkan pembelian menjelang pengenalan model SUV RAV4 baharu. Jualan di Jepun pula menurun sedikit 0.2 peratus kepada 130,222 unit.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial