DUNIA > BERITA

KEMBOJA, THAILAND TANDATANGAN PERJANJIAN GENCATAN SENJATA BAGI TAMATKAN KONFLIK SEMPADAN SERTA-MERTA

27/12/2025 02:52 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 27 Dis (Bernama) -- Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa tengah hari (waktu tempatan) pada Sabtu, sekali gus menamatkan konflik yang kembali memuncak pada 7 Dis.

Menteri pertahanan kedua-dua negara menandatangani Kenyataan Bersama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ketiga pada pagi Sabtu, iaitu hari ketiga mesyuarat berkenaan.

“Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta melibatkan semua jenis senjata, termasuk serangan terhadap orang awam, objek dan infrastruktur awam serta sasaran ketenteraan mana-mana pihak, dalam semua keadaan dan di semua kawasan.

“Kedua-dua pihak juga mesti mengelakkan sebarang tembakan tanpa provokasi, pergerakan atau kemaraan tentera ke arah kedudukan atau pasukan satu lagi. Perjanjian ini tidak boleh dilanggar dalam apa jua keadaan,” menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan sama disiarkan di laman Facebook Kementerian Penerangan Kemboja serta laman sesawang Kementerian Luar Thailand.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja dan Pengerusi Bersama GBC Kemboja, Jeneral Tea Seiha, serta Menteri Pertahanan Thailand dan Pengerusi Bersama GBC Thailand, Jeneral (B) Nattaphon Narkphanit.

Mesyuarat diadakan di Prum, Wilayah Pailin, Kemboja dan di Ban Pak Kard, Wilayah Chanthaburi, Thailand (Pintu Masuk Antarabangsa).

Mesyuarat itu turut disaksikan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).

Mesyuarat itu juga akan memperkukuh peranan AOT melalui rundingan bersama Pengerusi ASEAN serta AOT.

Kedua-dua negara turut bersetuju bahawa selaras dengan semangat "Deklarasi Bersama Kuala Lumpur" pada 26 Okt, seramai 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan di Thailand akan dihantar pulang ke Kemboja selepas gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya selama 72 jam.

Selain itu, kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai beberapa isu penting termasuk memastikan keselamatan pasukan tinjauan bersama di lapangan, khususnya berkaitan ancaman periuk api.

Mereka juga bersetuju memudahkan kepulangan selamat orang awam yang tinggal di kawasan sempadan, serta membanteras penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia.

“Kenyataan ini mengulangi komitmen tegas untuk menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan, menyelesaikan pertikaian secara aman serta menghormati sempadan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa demi mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen terhadap pelaksanaan berkesan pengaturan gencatan senjata bertarikh 28 Julai 2025, perjanjian GBC dan mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama, serta semua perjanjian sedia ada antara kedua-dua negara.

Kenyataan itu juga menekankan bahawa Kemboja dan Thailand akan mematuhi prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara bagi mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan