DUNIA > BERITA

ZELENSKYY: UNDANG-UNDANG TENTERA TIDAK AKAN DITAMATKAN SEHINGGA UKRAINE TERIMA JAMINAN KESELAMATAN

30/12/2025 04:53 PM

MOSCOW, 29 Dis (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Undang-undang tentera di Ukraine hanya akan ditamatkan selepas Kyiv menerima jaminan keselamatan, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Zelenskyy menyatakan demikian susulan pertemuannya dengan  Donald Trump di kediaman Presiden Amerika Syarikat (AS) itu di Mar-a-Lago, Florida pada Ahad. 

Selepas pertemuan itu, Zelenskyy berkata jaminan keselamatan antara AS dan Ukraine telah dipersetujui 100 peratus.

“Penamatan undang-undang tentera hanya akan berlaku apabila Ukraine menerima jaminan keselamatan. Tanpa jaminan keselamatan, konflik ini tidak akan benar-benar berakhir. Kami tidak boleh mengakui bahawa ia telah berakhir ... Dan apakah jaminan keselamatan itu? Ia adalah pemantauan oleh rakan kongsi serta kehadiran mereka," Zelenskyy dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Ukraine, Novosti.LIVE.

Zelenskyy turut menyatakan bahawa beliau mahu menerima jaminan keselamatan serentak dengan penandatanganan dokumen 20 perkara mengenai penyelesaian konflik. Selain itu, Zelenskyy berkata beliau mahu tentera Barat dikerahkan di Ukraine sebagai sebahagian daripada jaminan keselamatan berkenaan.

Sementara itu, Trump semasa pertemuan dengan Zelenskyy menyatakan bahawa Eropah akan memikul sebahagian besar tanggungjawab dalam menyediakan jaminan keselamatan kepada Ukraine, namun AS tetap akan turut serta dalam usaha tersebut.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan