BEIJING, 1 Jan (Bernama- CMG) – Presiden China Xi Jinping menyampaikan perutusan tahun baharu 2026 pada Rabu malam, sambil mengimbas kembali perjalanan yang dilalui dan kejayaan dicapai dalam lima tahun lepas.
Tahun 2025 merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 China. Xi dalam perutusan itu merumuskan perjalanan luar biasa yang dilalui China dalam lima tahun lepas.
Menurut beliau, China berjaya mencapai pelbagai matlamat yang ditetapkan dan mengorak langkah kukuh dalam perjalanan baharu menuju modenisasi ala China.
Beliau juga mengimbas kembali peristiwa penting dan kejayaan cemerlang yang dilakar negara Tembok Besar sepanjang 2025, antaranya mengadakan majlis memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, inovasi dan penciptaan menjana kuasa produktif kualiti baharu, agregat ekonomi China dijangka mencapai RMB140 trilion, sementara sektor kebudayaan dan pelancongan terus berkembang maju.
Xi menegaskan bahawa kemajuan Parti Komunis China (PKC) berkait rapat dengan kebangkitan negara. PKC terus memperkasa revolusi terhadap diri sendiri sehingga tatalaku parti dan kerajaan terus diperbaiki pada 2025.
Selepas mengumumkan tiga inisiatif yang masing-masing memfokuskan pembangunan, keselamatan dan peradaban, Presiden Xi mengemukakan Inisiatif Tadbir Urus Global pada 2025 untuk mendorong pembinaan sistem tadbir urus sejagat yang lebih adil dan munasabah.
Xi dalam perutusan itu berkata berdepan dunia yang tidak menentu, China sentiasa menyebelahi ketepatan sejarah dan bersedia bersama-sama pelbagai negara untuk menggalakkan keamanan dan pembangunan dunia, di samping mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Melihat kepada 2026, Xi berkata China akan terus memantapkan pembangunan berkualiti tinggi, memperkasa pembaharuan dan keterbukaan secara menyeluruh, menjana kemakmuran bersama seluruh rakyat demi membuka lembaran baharu keajaiban China.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial