DUNIA > BERITA

MOHAMAD HASAN GESA RAKYAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA KERJASAMA RAPAT DENGAN KEDUTAAN

02/01/2026 07:00 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 2 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara supaya bekerjasama rapat dengan kedutaan Malaysia dalam memelihara imej negara di persada global.

Beliau berkata usaha perwakilan Malaysia di luar negara, bersama dengan tingkah laku dan representasi rakyat Malaysia di perantauan, adalah amat penting dalam mengekalkan reputasi baik negara serta memperkukuh kerjasama dua hala.

“Anda, sebagai rakyat Malaysia di Thailand, memainkan peranan penting sebagai jambatan antara Malaysia dan Thailand, memperkukuh hubungan antara rakyat serta menyumbang secara positif kepada imej Malaysia di luar negara.

Saya menggalakkan anda untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan dan menyokong segala usahanya,” katanya pada majlis perasmian pembukaan semula kompleks Kedutaan Malaysia di Jalan Sathorn, di sini.

Terdahulu, Mohamad merasmikan pembukaan semula itu dengan acara memotong reben dan  penanaman pokok, diiringi isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Menteri Luar itu berkata misi diplomatik yang lengkap adalah penting bagi diplomasi berkesan dan penyampaian perkhidmatan berkualiti, terutamanya di negara yang mempunyai hubungan rapat dan penting kepada Malaysia seperti Thailand.

Beliau turut menekankan hubungan lama antara kedua-dua negara yang berakar umbi daripada faktor geografi, sejarah dan hubungan sesama rakyat yang kukuh.

“Saya ingin memuji duta besar, pegawai-pegawai dan kakitangan sokongan kedutaan atas dedikasi serta profesionalisme mereka sepanjang proses ini. Usaha anda, yang sering dilakukan secara senyap di sebalik tabir, amat dihargai,” katanya.

Mohamad berkata canseri yang telah diubah suai itu bukan sahaja mencerminkan penambahbaikan fizikal, malah membuktikan komitmen berterusan Kementerian Luar dalam memastikan misi diplomatik Malaysia di luar negara beroperasi dalam persekitaran kerja yang moden, cekap dan kondusif.

“Anda merupakan wakil barisan hadapan Malaysia, yang diberi amanah untuk menjaga kepentingan negara, memperkukuh kerjasama dua hala dan membantu rakyat Malaysia di luar negara,” katanya sambil menambah bahawa kedutaan berfungsi sebagai platform penting bagi memajukan hubungan dua hala dan memupuk persefahaman lebih erat antara kedua-dua negara.

Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah RM114.56 bilion (US$25.03 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM98.19 bilion (US$22.79 bilion), berbanding RM95.52 bilion (US$20.79 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan