DUNIA > BERITA

KEMAS KINI: EMPAT MAUT HELIKOPTER TERHEMPAS DI ARIZONA, AS

03/01/2026 06:41 PM

LOS ANGELES, 2 Jan (Bernama-Xinhua) -- Empat orang maut selepas sebuah helikopter persendirian terhempas di kawasan pergunungan di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.

Pejabat Syerif Kaunti Pinal menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai nahas helikopter itu berhampiran Superior, sebuah bandar berdekatan ibu negeri, Phoenix.

Nahas berlaku kira-kira pukul 11 pagi (1800 GMT), menurut pejabat syerif itu yang turut menyatakan bahawa "bukti awal menunjukkan seutas tali “slackline” rekreasi sepanjang lebih satu kilometer telah diregangkan merentasi banjaran gunung berkenaan."

"Seorang saksi yang menghubungi talian 911 melaporkan melihat helikopter berkenaan melanggar sebahagian daripada tali itu sebelum terjatuh ke dasar ngarai," katanya.

Pasukan mencari dan menyelamat yang tiba di lokasi bangkai helikopter dengan berjalan kaki mengesahkan kesemua empat mangsa yang berada di dalam pesawat itu terkorban.

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang mengemudi helikopter berkenaan dan tiga ahli keluarga wanita, dua daripadanya berusia 21 tahun manakala seorang lagi berusia 22 tahun.

Siasatan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) sedang dijalankan, menurut pejabat syerif itu.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan