BEIJING, 4 Jan (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung tiba di Beijing pada Ahad bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari China Xi Jinping, dengan kedua-dua pemimpin dijangka memberi tumpuan kepada isu Korea Utara, hubungan ekonomi serta pertukaran budaya, lapor Agensi Berita Yonhap.
Lawatan negara selama empat hari itu merupakan kunjungan sulung Lee ke China sejak mengambil alih jawatan pada Jun tahun lalu, serta lawatan pertama oleh seorang presiden Korea Selatan ke negara itu sejak 2019.
Pada hari yang sama, Lee dijadual bertemu rakyat Korea Selatan di China bagi mendapatkan pandangan mereka serta menyatakan komitmen sokongan kerajaan.
Lee akan mengadakan perbincangan dengan Xi pada Isnin, menandakan pertemuan kedua mereka dalam tempoh hanya dua bulan selepas bertemu di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Gyeongju pada awal November, ketika Xi melawat Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun.
Lawatan itu dilakukan ketika Korea Selatan berusaha mengurus hubungannya dengan China secara stabil. China merupakan rakan utama dalam perdagangan, pelancongan dan usaha keamanan di Semenanjung Korea, sementara Seoul turut berhasrat mengekalkan pakatan kukuh dengan Amerika Syarikat di bawah pendekatan diplomasi “pragmatik” pentadbiran Lee.
Pada pertemuan itu, Lee dijangka meminta sokongan China dalam memperbaiki hubungan yang tegang dengan Pyongyang serta mencapai kemajuan dalam usaha "denuclearisation" di Semenanjung Korea, yangmerupakan agenda utama dasar luar pentadbirannya.
Diiringi delegasi perniagaan yang besar, beliau juga akan menghadiri forum ekonomi Korea Selatan–China di Beijing pada Isnin bagi membincangkan peluasan kerjasama antara lain dalam bidang kecerdasan buatan, tenaga hijau, rantaian bekalan dan pelancongan.
Kedua-dua pihak dijangka menandatangani lebih 10 memorandum persefahaman bagi kerjasama dalam pelbagai bidang, menurut pejabatnya.
Pertukaran budaya turut menjadi topik utama, apabila Seoul berharap dapat meluaskan akses kandungan Korea di China, yang berdepan sekatan tidak rasmi sejak Korea Selatan menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat pada 2017.
Walaupun Beijing tidak mengakui secara rasmi wujudnya larangan terhadap kandungan Korea, Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung-lac berkata Seoul akan mencari kaedah untuk memperkukuh hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Isu sensitif juga dijangka dibangkitkan, termasuk pembinaan struktur keluli oleh China di zon laut bertindih di Laut Kuning, yang dilihat Seoul berpotensi menjadi asas tuntutan wilayah.
Wi berkata kedua-dua pihak telah mengadakan rundingan peringkat kerja mengenai struktur maritim China selepas isu itu dibangkitkan dalam sidang pertemuan Lee-Xi pada November.
Pada Selasa, Lee dijadual menghadiri majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri China Li Qiang, yang bertanggungjawab terhadap dasar ekonomi, serta bertemu Zhao Leji, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan sebelum berlepas ke Shanghai pada hari yang sama.
Di Shanghai, Lee merancang untuk melawat tapak bersejarah yang pernah menempatkan Kerajaan Sementara Republik Korea semasa penjajahan Jepun bagi memperingati ulang tahun ke-100 penubuhannya selain dijadual menghadiri acara syarikat pemula bersama usahawan Korea dan China sebelum pulang ke tanah air pada Rabu.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial