DUNIA > BERITA

BEKAS PRESIDEN KOREA SELATAN RAYU KETEPIKAN HUKUMAN PENJARA SEUMUR HIDUP

24/02/2026 02:31 PM

SEOUL, 24 Feb (Bernama-Yonhap) -- Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa merayu hukuman penjara seumur hidup terhadapnya diketepikan iaitu atas sabitan melakukan pemberontakan setelah gagal melaksanakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.

Rayuan itu difailkan oleh peguamnya lima hari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Yoon kerana mengetuai pemberontakan apabila beliau melaksanakan undang-undang tentera dalam tempoh singkat pada 3 Dis 2024.

“Kami berpendapat kami mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan dengan jelas (apa) masalah dengan keputusan ini bukan sahaja untuk rekod mahkamah tetapi juga untuk rekod sejarah masa depan," menurut kumpulan peguam berkenaan dalam kenyataan kepada akhbar.

“Kami tidak akan berdiam diri tentang tuduhan berlebihan peguam khas dan keputusan bercanggah mahkamah dengan perbicaraan pertama mengenainya, serta latar belakang politiknya," tambah mereka.

Mahkamah Daerah Seoul Tengah yang mengumumkan keputusan itu Khamis lepas berkata Yoon berhasrat untuk melumpuhkan parlimen (Perhimpunan Kebangsaan) dengan menghantar tentera ke pekarangan selepas mengisytiharkan undang-undang tentera, memenuhi definisi pemberontakan seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Bekas presiden itu juga dikatakan merancang jenayah tersebut secara peribadi dan memainkan peranan utama, menanggung kos sosial yang besar namun tidak menyatakan permohonan maaf.

Tujuh defendan lain menerima keputusan mereka bersama Yoon termasuk bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, bekas ketua Agensi Polis Negara Cho Ji-ho dan bekas ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul Kim Bong-sik.

Bekas menteri pertahanan tersebut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun manakala Cho dikenakan 12 tahun (penjara) dan bekas ketua polis Seoul 10 tahun atas peranan mereka dalam cubaan pelaksanaan undang-undang tentera itu.

Yoon sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam perbicaraan berasingan atas pelbagai dakwaan termasuk menghalang percubaan penyiasat untuk menahannya tahun lepas.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan