DUNIA > BERITA

PRESIDEN FILIPINA TANDATANGANI BELANJAWAN NEGARA 2026 BERJUMLAH US$115 BILION

05/01/2026 06:40 PM

MANILA, 5 Jan (Bernama-Xinhua) -- Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr. pada Isnin menandatangani undang-undang bagi belanjawan negara 2026 yang berjumlah 6.793 trilion peso (kira-kira US$115 bilion), lapor Xinhua.

Pada majlis menandatangani dokumen berkenaan di istana presiden, Marcos berkata Akta Peruntukan Am 2026 itu adalah selaras dengan pelan pembangunan jangka sederhana dan panjang kerajaan yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat Filipina.

Menerusi belanjawan itu, sektor pendidikan menerima agihan terbesar dengan lebih 1.34 trilion peso diperuntukkan bagi penambahan jawatan pengajar dan kakitangan sokongan, kenaikan pangkat serta pengkelasan semula guru, selain pembinaan bilik darjah di seluruh negara.

Sektor kesihatan pula diperuntukkan sebanyak 448.125 bilion peso bagi menyokong penjagaan kesihatan sejagat, termasuk pembiayaan untuk pengawasan penyakit, mekanisme tindak balas pantas dan pembiayaan kesihatan yang mampan.

Sektor pertanian menerima peruntukan lebih 297 bilion peso untuk memodenkan sistem bekalan serta menyokong golongan petani dan nelayan.

Selain itu, lebih 270 bilion peso dikhaskan untuk program perlindungan sosial bagi meningkatkan kualiti hidup, menjaga kebajikan merentas pelbagai sektor dan memperkukuh modal insan.

Marcos berkata program utama belanjawan itu dirangka untuk membantu negara mencapai kadar kemiskinan satu angka menjelang 2028. (1 peso bersamaan 0.017 dolar AS).

--BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan