DUNIA > BERITA

INDONESIA CAPAI TAHAP SARA DIRI BERAS - PRABOWO

06/01/2026 04:30 PM

JAKARTA, 6 Jan (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan bahawa Indonesia secara rasmi telah mencapai tahap sara diri beras setakat 31 Disember 2025.

Beliau berkata pencapaian itu merupakan sasaran strategik nasional yang pada mulanya ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh empat tahun, namun berjaya direalisasikan dalam tempoh setahun sahaja.

“Terima kasih atas kerja keras dan kerjasama antara semua pihak berkepentingan, sasaran ini dapat dicapai dengan lebih awal. Pada tahun 2025, kita tidak mengimport beras langsung. Sasaran empat tahun berjaya kita laksanakan dalam masa satu tahun,” katanya.

Prabowo mengumumkan perkara itu dalam ucapannya sebelum merasmikan sambutan Krismas Peringkat Kebangsaan di Arena Tenis Tertutup Senayan, di sini, Isnin malam.

Beliau berkata kerajaan komited untuk mengekalkan kemampanan tahap sara diri beras dengan memperkukuh sektor pertanian, meningkatkan kebajikan petani serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi menjamin keterjaminan makanan negara yang mampan.

Dalam semangat sambutan Krismas, ketua negara itu turut menyeru perpaduan nasional dan kerjasama daripada rakyat dalam merealisasikan aspirasi Indonesia menjadi sebuah negara maju, berdaulat dan makmur untuk seluruh rakyatnya.

“Saya sentiasa mahu mengajak semua orang, tanpa mengira perbezaan kita, tanpa mengira apa jua dosa yang mungkin kita lakukan pada masa lalu kerana kita hanyalah manusia yang penuh dengan kekurangan dan kesilapan. Namun sekarang, kita harus bekerjasama, kita mesti bersatu dan saling berganding bahu.

“Yang kuat harus membantu yang lemah, yang lemah harus bersatu dalam kerjasama. Bertandinglah secara adil, tetapi setelah persaingan tamat, bersatulah semula,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan